Pages

Sunday, March 1, 2015

KOMA 17 JAM KERANA DEMAM PANAS


Koma 17 jam kerana demam panas


Gua Musang - "Abang saya sudah 17 jam tak sedar diri kerana demam panas,” kata Jailani Along, 24, ketika ditemui di Hospital Gua Musang (HGM), petang kelmarin.

Abangnya, Ahing Along, 51, dipindahkan ke hospital berkenaan menggunakan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas mengalami koma akibat demam panas.

Menurut Jailani, pemindahan abangnya dari Pos Pasik, dekat sini, ke HGM untuk mendapatkan rawatan sudah tertangguh selama tiga hari berikutan masalah jalan perhubungan.

"Keadaan abang saya makin tenat sehingga memaksa keluarga buat laporan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mendapatkan bantuan penerbangan ihsan.

"Selepas tiba di HGM, abang saya mengambil masa 15 minit untuk sedar kembali dan keadaannya kini semakin stabil walaupun demam masih berterusan," katanya.

Jailani berkata, jalan darat ke perkampungannya memang bermasalah lebih-lebih lagi selepas kejadian banjir luar biasa penghujung tahun lalu sehingga sukar untuk masuk walaupun menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Jailani menyatakan kelegaan kerana abangnya bernasib baik apabila perkhidmatan penerbangan ihsan sampai dalam kadar segera membolehkan abangnya dihantar ke hospital dengan cepat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM, Siti Farizun Naim berkata, dua pesakit Orang Asli dihantar ke HGM menggunakan penerbangan ihsan jabatan itu.

Katanya, seorang lagi pesakit merupakan wanita baru lepas bersalin, Suzana Jamily, 21, juga dari pos sama, namun keadaannya tidak kritikal walaupun memerlukan rawatan segera.

"Kami terima laporan daripada JAKOA dan terus hantar helikopter yang berpangkalan di Bertam, Pulau Pinang, iaitu pangkalan paling hampir dengan Pos Pasik. Jarak masa perjalanannya makan masa 50 minit.

"Jika kita guna unit penerbangan berpangkalan di Subang, perjalanan akan memakan masa lebih sejam untuk sampai ke pos berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor