JAKARTA - Kini telah masuk bulan ketiga saya berada di Jakarta, Indonesia sebagai pewarta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.
Saya kagum dengan Indonesia daripada pelbagai aspek termasuk geografi negara itu. Satu petikan berita baru-baru ini di sebuah akhbar tempatan akan pulau-pulau yang 'hilang' di Indonesia mendorong saya berkongsi pengetahuan dengan pembaca.
Indonesia sebelum ini dikatakan terdiri daripada 17,508 buah pulau, dikenali sebagai 'pulo', 'nusa' ataupun 'gili' dalam bahasa tempatan, yang merentasi barat ke timur meliputi jumlah keluasan sebanyak 5,193,250 kilometer persegi.
Bagaimanapun, baru-baru ini kira-kira 4,000 daripada 17,508 buah pulau di Indonesia dikatakan "ghaib" daripada muka bumi bukan kerana faktor semulajadi atau angkara manusia, tetapi kerana tidak menepati definisi pulau yang ditetapkan oleh Konvesyen PBB Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
HILANGNYA 4,000 BUAH PULAU?
Media tempatan Koran Tempo baru-baru ini memetik Ketua Badan Informasi Geospasial (BIG) Dr Asep Karsidi sebagai berkata, jumlah pulau-pulau di negara itu berdasarkan UNCLOS adalah sebanyak 13,466 sahaja.
Empat syarat yang harus dipenuhi agar dapat diiktiraf sebagai 'pulau' adalah , mesti ada daratan, terbentuk secara geografi dan bukan buatan manusia, dikelilingi air serta tidak ditenggelami ketika air pasang.
Maka setelah pihak berkuasa membuat kajian semula terhadap pulau-pulau di Indonesia, terdapat beberapa "pulau" yang tidak dapat diiktiraf sebagai pulau kerana ianya sekadar timbunan pasir, lumpur ataupun batu karang yang tenggelam ketika air pasang tinggi.
Begitu juga "pulau" yang dikelilingi lumpur dan paya bakau yang dinaiki air ketika pasang tinggi tidak lagi diiktiraf sebagai sebuah pulau walaupun pokok bakau sentiasa kelihatan di permukaan air.
Asep dipetik sebagai berkata, pengisyhtiharan kerajaan bahawa Indonesia mempunyai sebanyak 17,508 buah pulau sebelum ini adalah kerana ia telah mengambilkira semua jenis tanah termasuk gosong atau timbunan pasir sebagai pulau.
KEHILANGAN SEMULAJADI
Pun begitu, Indonesia juga kehilangan beberapa buah pulau kerana perkembangan semulajadi atau perbuatan manusia.
Sebanyak 24 buah pulau kecil di Indonesia, termasuk Pulau Gosong Sinjai di Acheh, lenyap disebabkan akibat tsunami Aceh pada 2004 dan aktiviti manusia.
Pulau-pulau lain yang hilang adalah Pulau Mioswekel di Papua akibat hakisan dan Pulau Lereh di Kepulauan Riau akibat aktiviti perlombongan pasir.
Pada 1883, Indonesia juga pernah kehilangan sebuah pulau yang besar iaitu Pulau Krakatau, di tengah-tengah Selat Sunda, serta beberapa pulau kecil sekelilingnya ditelan laut akibat letusan gunung berapi yang paling dasyat di dunia.
Gegaran akibat letusan gunung berapi itu dikatakan dapat dirasai di seluruh dunia dan lebih 36,000 nyawa hilang bersama pulau itu.
FAKTA PULAU DI INDONESIA
Bilangan pulau yang banyak ini menjadikan Indonesia sebagai negara ketujuh terluas di dunia selepas Rusia, Kanada, Amerika Syarikat, China, Brasil dan Australia dan ia adalah negara terluas di Asia Tenggara.
Republik itu juga dikelilingi 11 kawasan perairan iaitu Laut Jawa, Laut Flores, Laut Sawu, Laut Timor, Laut Sulawesi, Laut Maluku, Laut Seram, Laut Banda, Laut Arafura, Laut Natuna dan Laut Tiongkok Selatan.
Tahukah pembaca pulau terbesar dan terkecil di Indonesia?
Pulau terbesar di negara itu adalah Pulau Papua iaitu seluas 786,000 kilometer persegi dan dibahagikan kepada dua negara iaitu Indonesia dan Papua New Guinea. Pulau terkecil di Indonesia, dengan keluasan kira-kira 1 hektar sahaja, adalah Pulau Simping yang terletak berhampiran Singkawang di Kalimantan Barat.
Pulau Jawa yang menempatkan ibu negara Indonesia iaitu Jakarta adalah pulau yang ke-13 terluas di dunia dan salah satu pulau yang padat dengan jumlah penduduk melebihi 136 juta orang.
Sebanyak 60 peratus daripada penduduk Indonesia menduduki pulau itu dan bagi tujuan pentadbiran, pulau itu dibahagikan kepada empat wilayah iatu Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, dan Banten.
Bagaimanapun, bagi warga Indonesia kehidupan berlalu seperti biasa di mana-mana satu daripada beribu-ribu pulau ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor