Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menasihati penyerang hoki negara, Faizal Saari supaya terus mengekalkan disiplin bukan untuk kejayaan diri sendiri malah untuk kecemerlangan hoki negara.
Faizal sebelum ini mencetus kontroversi menghilangkan diri selepas pasukan hoki negara muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura, baru-baru ini.
Puncanya dipercayai Faizal tidak memperoleh bayaran daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Impaknya, Faizal digugurkan dalam Jelajah Australia baru-baru ini sebagai persiapan menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula 5 April depan.
Bagaimanapun kelmarin, Faizal membuat kejutan kembali menyertai kem latihan skuad kebangsaan kendalian jurulatih sementara, Tai Beng Hai.
Menurut Khairy, beliau melihat kehadiran semula Faizal dalam kem kebangsaan sebagai satu lembaran baharu buat pasukan negara bagi berdepan misi utama memburu tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Brazil.
“Faizal perlu ingat, sebagai pemain kebangsaan, sebagai pemain hebat dan sebagai ikon hoki negara, saya nasihatkan dia dapat menyesuaikan diri dengan baik serta menjaga disiplin.
“Semuanya untuk kerjayanya selain menyumbang kepada kecemerlangan skuad hoki negara,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Hari Sukan Negara 2015, semalam.
Khairy juga berharap kemelut yang melanda Faizal tidak berterusan.
“Saya harap ‘persatuan’ itu dapat mengelakkan perselisihan pendapat dengan Faizal dengan pihak berkenaan,” katanya.
Sementara itu di PEKAN, PAHANG, Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah gembira kerana Faizal kembali menyertai latihan sekali gus memantapkan perancangan skuad negara menghadapi beberapa saingan penting.
“Semua pemain mempunyai peranan penting masing-masing dan ia turut ada pada Faizal yang mampu membantu rakan sepasukan terus menempah kejayaan dalam perlawanan akan datang.
“Saya berharap agar sokongan penuh dari saya kepada skuad hoki kebangsaan ini dapat menjadi inspirasi kepada mereka untuk bangkit dan menempah tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil tercapai,” titah baginda ketika sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja Malaysia di Istana Abu Bakar.
Tengku Abdullah turut berharap prestasi Faizal kembali konsisten bagi menimbulkan rasa gerun kepada pasukan lawan.
“Secara peribadi saya sememangnya mengharapkan Faizal dapat kembali memperkuatkan jentera The Speedy Tigers dan berjuang bersungguh-sungguh bersama rakan sepasukannya,” titahnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor