Pages

Friday, March 6, 2015

HARAP ADA KHABAR MH370 SELEPAS SETAHUN HILANG


MH370


Kuala Lumpur - Beberapa hari menjelang genap setahun kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, syarikat penerbangan itu terus menaruh harapan bahawa misi pencarian dan penyiasatan dapat merungkai misteri kehilangannya dan mencari jawapan yang ditunggu-tunggu selama ini.

MAS akan memperingati ulang tahun pertama dengan program khas tertutup di pinggir Kuala Lumpur yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga anak kapal MH370 dan kakitangan MAS.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk memperingati rakan-rakan dan sahabat dalam pesawat malang itu...keluarga anggota-anggota anak kapal telah melahirkan hasrat bahawa program untuk mengenang pemergian orang tersayang yang mereka sertai adalah secara tertutup.

"Kami akan menggunakan peluang ini untuk mengingatkan diri kami dan pihak berkuasa berkaitan mengenai obligasi - tugas dan kewajipan moral - untuk meneruskan usaha mencari jawapan dan merumuskan kesimpulan yang muktamad," kata MAS dalam dalam satu kenyataan.

Pesawat Boeing 777 MAS itu membawa 239 orang apabila hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

MAS kehilangan 12 anak kapal serta seorang kakitangan MASkargo.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan Malaysia secara rasmi mengisytiharkan insiden itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan bahawa kesemua 239 orang yang menaiki pesawat dianggap telah terkorban.

Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia juga menegaskan bahawa usaha mencari pesawat itu tetap menjadi keutamaan.

Mengetahui bahawa tidak semua kakitangan dapat menghadiri program perjumpaan tertutup Ahad ini, MAS berkata ia akan mengedar pin batik kepada kakitangannya sebagai tanda mengingati pemergian rakan-rakan.

"Kami juga mengeluarkan lencana digital dengan reka bentuk yang sama dan hashtag "Always in my heart"," kata MAS yang kini melaksanakan pelan pemulihan bagi menyelamatkan masa depan syarikat penerbangan itu.

Selain MH370, Penerbangan MH17 yang dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam telah ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, mengorbankan kesemua 298 orang dalam pesawat.

Dalam masa kurang enam bulan, MAS mengalami dua insiden tragik, kehilangan lebih 500 nyawa dan hampir 30 anggota kru kanan dalam apa yang boleh disifatkan sebagai peristiwa yang belum pernah berlaku dalam sejarah penerbangan.

MAS menyatakan bahawa ulang tahun pada Ahad ini adalah signifikan kerana peristiwa yang menyelubungi MH370 telah meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan terhadap perniagaan dan reputasinya.

"Tetapi yang lebih penting, kami kehilangan rakan-rakan tersayang pada hari itu," kata MAS dan menambah bahawa walaupun misteri kehilangan MH370 tidak terjawab walaupun ahli keluarga menuntut jawapannya, kebajikan ahli keluarga diberi perhatian dalam setiap tindakan yang diambil oleh MAS sebagai sebuah syarikat sejak mengetahui kehilangan pesawat itu.

"Kami sendiri tidak dapat memberikan jawapan. Kami menyokong siasatan tetapi kami tidak mengarahkannya ataupun mengetahui hasil siasatan.

"Kami melihat pencarian di Lautan Hindi dari jauh, sama seperti orang lain... kami tidak boleh menetapkan bila atau dari mana maklumat disalurkan," kata MAS.

MAS berkata, ia secara langsung telah menyediakan bantuan kewangan dan menubuhkan Pusat Sokongan Keluarga di Kuala Lumpur dan Pusat Bantuan Keluarga di Kuala Lumpur dan Beijing, selain bantuan dalam bentuk khidmat kaunseling.

Usaha ini, kata syarikat penerbangan itu, akan diteruskan selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor