Pages

Thursday, March 5, 2015

CAMERON HIGHLANDS: MAHASISWA DITAHAN KEMARUK RAKAM WANITA DALAM TANDAS


PDRM


Polis menahan seorang mahasiswa Jumaat lepas yang kemaruk merakam aksi wanita membuang air kecil di tandas sebuah sekolah rendah di Kuala Terla dekat Cameron Highlands.

Suspek dikatakan meletakkan alat rakaman litar tertutup (CCTV) menyerupai penyangkut baju di pintu tandas untuk membuat rakaman tersebut.

Perbuatannya disedari oleh salah seorang mangsa berusia 30 tahun yang merupakan pengusaha kantin sekolah tersebut pada pukul 8 pagi Khamis lepas ketika mahu membuang air kecil.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Seuperintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang melihat 'penyangkut baju' tergantung senget di pintu tandas itu cuba membetulkan kedudukannya.

"Sebaik sahaja memegang penyangkut baju itu mangsa mendapati terdapat butang kecil tertulis perkataan 'on/off' lalu memeriksa alat itu yang didapati mempunyai memori kad dipercayai boleh membuat rakaman.

"Mangsa kemudiannya menceritakan perkara itu kepada guru besar sebelum pihak pengurusan sekolah memasang CCTV di dalam tandas berkenaan untuk mengenal pasti individu terbabit," kata Wan Mohd Zahari ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau berkata, hasil CCTV yang dipasang tersembunyi itu, pihak pengurusan sekolah berjaya merakam imej suspek berusia 20an yang masuk ke dalam tandas tersebut untuk mengambil penyangkut baju berkenaan.

Katanya, susulan kejadian itu, guru besar sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terla, pada Jumaat lepas sebelum polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah berdekatan sekolah tersebut.

Suspek adalah penuntut tahun akhir sebuah universiti di Kuala Lumpur. 

Polis sedang menyiasat motif suspek membuat rakaman, sama ada untuk kegunaan peribadi atau disebarkan di laman sesawang.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor