Pasir Mas - Impian seorang bapa untuk menyediakan sebuah rumah yang selesa buat keluarganya menjadi kenyataan apabila hasrat itu direalisasikan di bawah program dhuafat.
Ramli Mat, 47, berkata, dia sangat bersyukur kerana dipilih sebagai seorang daripada penerima bantuan rumah tersebut.
Menurutnya, pendapatan yang tidak menentu ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, hanya cukup untuk perbelanjaan harian.
Justeru katanya, dengan adanya rumah baharu itu nanti bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada mereka sekeluarga, tetapi juga harapan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik pada masa akan datang.
“Sudah lebih 20 tahun saya dan isteri memasang angan-angan untuk memiliki rumah sendiri. Lebih-lebih lagi apabila enam anak kami sedang membesar dan memerlukan tempat lebih selesa serta selamat.
“Jika hendak harapkan pendapatan saya yang bekerja kampung, sampai bila-bila pun impian ini tidak akan tercapai,” katanya.
Ramli berkata demikian pada Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah Dhuafat di Kampung Kubang Batang, di sini, semalam, yang dirasmikan Adun Pengkalan Pasir, Datuk Hanifa Ahmad.
Sementara itu, kata Hanifa, bantuan rumah dhuafat hanya diberikan kepada mereka yang betul-betul layak.
“Kami akan memilih mereka yang layak, sementara rumah pula akan dibina secara berperingkat.
“Kami harap pemberian rumah ini dapat memberikan kegembiraan kepada penerima agar mereka dapat meneruskan hidup dengan lebih selesa di samping keluarga tercinta,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor