Pages

Saturday, February 28, 2015

LAHIRKAN INSAN BERJIWA BESAR - SULTAN PAHANG


SULTAN AHMAD SHAH berkenan menyampaikan anugerah Maulidur Rasul



Era globalisasi yang penuh cabaran pada masa ini menuntut umat Islam melahirkan lebih ramai insan dan ilmuwan yang berjiwa besar serta berkeyakinan untuk menjadi khalifah Allah yang cemerlang.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, umat Islam perlu mengambil iktibar perjuangan Rasullullah SAW bagi memastikan perpaduan antara mereka dapat diperkukuhkan bagi berdepan cabaran pada zaman globalisasi.

“Umat Islam perlu menjadi ilmuwan yang terhebat sebagaimana Rasulullah SAW iaitu insan terhebat sehingga kini. Sehubungan itu, saya menyeru supaya pendedahan dapat diberikan kepada aspek pentingnya menuntut ilmu sama ada duniawi dan ukhrawi dalam masyarakat Islam hari ini.

“Ini penting kerana dengan menuntut ilmu dapat melahirkan umat Islam yang gemilang dan terbilang serta berkeyakinan untuk menjadi pemimpin,” titah baginda dalam majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Yang turut berangkat, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Sultan Ahmad Shah bertitah, umat Islam di negeri ini diingatkan supaya sentiasa bersatu padu dan berpegang teguh pada ajaran Islam.

“Masyarakat seharusnya menghayati dan mencontohi Rasulullah SAW yang sentiasa memastikan perpaduan menjadi agenda utama.

“Umat Islam hendaklah mengambil iktibar daripada perjuangan Rasulullah SAW supaya pendekatan perpaduan dapat dilaksanakan di negara ini,” titahnya.

Dalam majlis itu, Sultan Ahmad Shah turut berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada tiga penerima iaitu Zainal Abidin Samat, Patimah Abdul Rahman dan Abdullah Chik.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor