Pages

Tuesday, February 17, 2015

KUANTAN: KERAJAAN BINA LALUAN BAHARU PAHANG SKILL


Adnan Yaakob


Kerajaan Negeri Pahang semalam, bersetuju untuk membina laluan masuk ke Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) di Semambu di sini, melalui Jalan Kuantan-Bypass yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pembinaan jalan itu perlu untuk memudahkan perjalanan masuk ke pusat latihan itu sambil mengambil kira keadaan laluan utama masa kini yang melalui kawasan perindustrian.

"Kita akan mengadakan mesyuarat pada minggu hadapan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung perancangan jalan baharu itu," katanya kepada pemberit selepas melancarkan logo dan bas baharu Pahang Skills di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Pahang Skills Datuk Lahuree Sudiran, Pengarah Eksekutifnya, Khairul Rizal Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumbe Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman.

Adnan juga memaklumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Pahang Skills untuk membeli peralatan baharu dalam bidang robotik memandangkan peralatan sedia ada telah berusia 12 tahun.

"Pahang Skills memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri dan perlu bersikap proaktif dalam memerhatikan perubahan yang berlaku dalam industri agar dapat disesuaikan dengan kursus yang ditawarkan," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa gembira dengan pencapaian Pahang Skills yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) kerana melahirkan pekerja mahir berpendapatan tinggi, melebihi tujuan penubuhannya pada tahun 1996, iaitu untuk memenuhi permintaan industri negeri.

"Saya juga dimaklumkan bahawa 85 peratus graduan universiti yang menganggur, apabila mereka datang ke sini (Pahang Skills) untuk menjalani latihan, mereka kemudiannya mendapat kerja dalam tempoh enam bulan," katanya. 

Selain itu, Adnan juga memberitahu kerajaan negeri akan memberi angpau Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di Pahang yang berusia 70 tahun ke atas, seperti tahun-tahun sebelumnya.

Adnan terdahulu merasmikan logo baharu Pahang Skills yang bersifat 'evolusi' dengan penggunaan warna biru muda pada perkataan 'SKILLS' bagi melambangkan keupayaan pusat latihan itu dalam pemikiran Strategi Lautan Biru, dengan menawarkan kursus berimpak tinggi dan terkini.

Beliau juga menunjukkan kemahiran memandu bas baharu Pahang Skills dengan mengelilingi pusat latihan itu, yang dinaiki Lahuree, Khairul Rizal dan Noorul Azali.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor