Semua pengendali lombong bijih di negeri ini perlu mencari lokasi baharu bagi menempatkan timbunan stok bahan galian berkenaan dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bijih Besi Pahang, Datuk Seri Tengku Zulkifly Tengku Ahmad berkata, satu pertemuan antara wakil persatuan dan pengendali lombong bijih akan diadakan Selasa depan bagi mencari jalan penyelesaian masalah itu.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan mengenai perkara tersebut dan pihaknya akur dengan arahan itu.
“Bagi memastikan tidak berlaku konflik kepentingan antara persatuan dan pengendali lombong, kita akan mencari jalan penyelesaian segera.
“Selain itu, kami juga perlu mengambil kira pandangan semua ahli persatuan dan juga pandangan daripada masyarakat setempat,” katanya.
Tengku Zulkifly berkata, pertemuan itu nanti akan disertai wakil daripada tujuh agensi kerajaan bagi memudahkan mereka mengenal pasti lokasi sesuai untuk menyimpan stok bijih itu.
Beliau berkata, secara dasarnya, pihaknya bersetuju dengan cadangan tapak berhampiran Jalan Sungai Ular yang menjadi laluan lori masuk lori bijih besi ke Pelabuhan Kuantan.
“Kami juga bersetuju bahawa pengusaha akan menanggung sepenuhnya kerja pembersihan bahan galian juga dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan anggaran kos kira-kira RM130,000,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu akan dapat melancarkan kerja pembersihan di Pelabuhan Kuantan dan Kawasan Perindustrian Gebeng berjalan lancar bagi menyelesaikan masalah debu akibat timbunan bijih besi.
Rabu lalu, kerajaan negeri mengarahkan semua pengusaha lombong bijih besi di negeri ini mengosongkan timbunan stok bahan galian itu di kawasan Pelabuhan Kuantan dan Kawasan Perindustrian Gebeng, di sini dalam tempoh dua bulan.
Keputusan itu dibuat apabila mendapati kawasan terbabit tidak lagi sesuai menjadi lokasi penyimpanan bahan mineral berkenaan kerana menjadi punca debu yang menjejaskan keselesaan dan kesihatan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor