Sebuah restoran francais di Bandar Triang, Bera tergamak menipu ribuan pelanggannya dengan mempamerkan logo Halal swasta yang disyaki tidak sah semata-mata mahu menarik pelanggan beragama Islam menikmati hidangannya.
Restoran yang dimiliki individu bukan Islam itu memang menjadi pilihan masyarakat setempat dan mereka yang datang ke daerah itu untuk menjamu selera dengan menu yang disediakan.
Ketua Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, hasil pemeriksaan kira-kira sepuluh pegawai dan kakitangan Pejabat Agama Islam (Paip) Bera, Maran, dan Chenor mendapati, beberapa ramuan yang digunakan tidak disahkan halal termasuk herba, teh cina dan perisa air minuman.
Menurutnya, lebih menjijikkan, bahan masakan juga gagal disusun atur dengan baik dan ada logo halal yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selain penyimpanan bahan kering yang tidak dilabel.
“Bagaimana mereka mengesahkan menu berkenaan halal sedangkan pemeriksaan mendapati banyak ramuan tiada tanda halal yang disahkan termasuk kopi yang menjadi kegemaran ramai,” katanya.
Katanya, antara menu popular yang menjadi pilihan utama pelanggan di restoran itu ialah mee kari dan laksa dan mereka mendakwa semua bahan dibekalkan oleh ibu pejabatnya yang berpusat di Johor.
Beliau berkata, penggunaan logo halal swasta itu memang tidak dibenarkan dan menyalahi Perintah Dagangan 2011 (Perakuan dan Penandaan Halal).
Hasil siasatan juga, Paid mendapati restoran yang belum sampai setahun perkhidmatannya menggunakan khidmat tujuh kakitangan Islam termasuk seorang tukang masak.
Katanya, bagi melariskan menu, pemilik tanpa rasa bersalah turut meletakkan logo Halal yang sama pada kain rentang iklan di beberapa lokasi di tepi jalan.
“Kita mengarahkan pekerja restoran itu menutup serta merta logo halal pada menu dan banting iklan selepas gagal mengemukakan Sijil Halal yang dikeluarkan pihak swasta seperti yang didakwa,” katanya.
Noridzuan berkata, sehingga kini, rekod Jaip juga tidak menerima bahawa restoran berkenaan membuat permohonan mendapatkan Sijil Halal di negeri ini.
“Sebelum ini, Jaip sudah berulang kali menasihatkan premis yang menjual makanan tidak sewenang-wenangnya menggunakan apa-apa sahaja perakuan dan penandaan Halal.
“Setiap tanda halal juga boleh ditandakan dengan logo Halal Malaysia sahaja,” katanya.
Menurutnya, pemilik premis boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pemeriksaan turut disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bera dan Pejabat Kesihatan Daerah Bera.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor