Pasir Mas - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan akan mengadakan beberapa program bagi memantapkan lagi kemahiran anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam menghadapi banjir pada masa akan datang.
Pengarahnya Safidah Abu Samah berkata sehingga kini terdapat lebih 10,000 anggota SRS dan 452 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh Kelantan.
"Kita berhasrat untuk mengadakan lebih banyak latihan kepada anggota SRS ini yang bertujuan memantapkan kemahiran mereka ketika menghadapi bencana banjir.
"Antara kemahiran yang perlu diberi perhatian adalah cara mengendalikan bot, bantuan kecemasan dan kita akan mendapatkan bantuan pihak Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas Program Pasca Banjir dan Penyampaian Uniform Sekolah Export Import Bank of Malaysia Berhad (Exim Bank) di Sekolah Kebangsaan Lubok Setol di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Bahagian Pengurusan EXIM Bank Mohd Saupi Ibrahim.
Beliau berkata ketika banjir baru-baru ini anggota SRS dan KRT juga memainkan peranan yang penting dalam membantu mangsa banjir.
"Saya puji tindakan mereka ini yang membantu memindahkan mangsa banjir meskipun rumah mereka turut ditenggelami air, ini satu tindakan yang patut dipuji.
"Anggota KRT Jiran Wanita juga membantu menyediakan makanan di pusat-pusat pemindahan yang dibuka dan mereka memberi bantuan semampu yang boleh," katanya.
Katanya, satu Skuad Uniti telah ditubuhkan di negeri ini yang melibatkan beberapa KRT antaranya KRT Lubok Setol dan KRT Meranti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup sebelum ini berkata Skuad Uniti adalah inisiatif terbaru kerajaan bagi memperkasa program perpaduan dan integrasi nasional.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor