Pages

Tuesday, February 3, 2015

19 BEKAS PENAGIH DIPILIH JADI TETAMU ALLAH


Sebahagian daripada 19 peserta umrah dari kalangan OKP di bawah AADK. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI


Sepang - Siapa sangka mereka yang dahulunya insan yang bergelumang dengan najis dadah kini diterima menjadi tetamu ALLAH di tanah suci Makkah.

Begitulah bertuahnya 19 individu yang diberi peluang menjalani ibadah umrah di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dikenali sebagai orang kena pengawasan (OKP), mereka ditemui Sinar Harian di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang semasa sedang bersiap sedia untuk bertolak ke tanah suci, semalam.

Bagi salah seorang OKP, Muhammad Al-Miqdad Abdul Rashid, 24, peluang menunaikan umrah ini merupakan satu titik tolak dalam hidupnya untuk berubah dan memohon pengampunan di tanah suci Makkah.

Siapa sangka, Muhammad Al-Miqdad yang mempunyai latar belakang agama, menghafal enam juzuk al-Quran selain pernah mengikuti pelajaran di Maktab Mahmud, Kedah terlanjur mengambil dadah.

Melihat raut wajahnya, jelas terpancar rasa sesal selain keazaman untuk berubah dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Saya dulu mengalami kejutan budaya setelah berpindah dari Maktab Mahmud ke Sekolah Menengah Baling. Dari situ saya mula berkawan dengan rakan-rakan yang agak liar.

“Selepas SPM, akibat ajakan kawan saya mencuba dadah. Apabila terlibat dengan dadah ini sampai satu masa kita akan hilang semuanya, sehingga tidak terfikir apa yang sedang kita buat. Makan pun tidak, pakai apa pun tidak kisah. Saya mengambil dadah sehinggalah ditangkap pada umur 20 tahun,” katanya.

Ketika ditangkap, katanya, dia terus tersedar bahawa dia perlu berubah dan meninggalkan najis dadah.

“Saya cuba kuatkan hati meninggalkan najis dadah ini. Memang amat sukar tetapi saya tekad menjalani pemulihan di AADK.

Selama tempoh empat tahun pemulihan saya telah berjaya meninggalkan dadah,” katanya.

Matanya kelihatan berkaca dan sesekali merenung ke bawah tatkala menceritakan bagaimana penerimaan keluarga serta masyarakat ketika mengetahui dia terlibat dengan najis dadah.

“Keluarga pada ketika itu amat sedih dan tidak dapat menerima saya mengambil dadah. Tetapi saya memang tidak salahkan mereka kerana ini memang silap saya. Saya cuba berubah, tetapi saya tidak mengharapkan keluarga menerima saya sepenuhnya dalam masa singkat.

“Tetapi kini, alhamdulillah keluarga saya sudah boleh menerima saya kembali dan yang paling penting, masyarakat perlu beri peluang kepada penagih untuk berubah,” katanya. 


Kumpulan pertama bekas penagih dihantar ke Makkah

Dia yang kini bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah dan sudah berkahwin mengharapkan tiada masyarakat terutama golongan muda yang mengikuti jejak langkahnya.

Sementara itu, nasihat daripada seorang kawan karib yang juga penagih tegar yang sudah berubah menyedarkan Mohammad Adnan, 32, untuk meninggalkan najis dadah yang sudah diambilnya sejak 15 tahun lalu.

“Ada seorang hamba ALLAH berbangsa Cina yang banyak beri nasihat kepada saya. Antara yang paling saya ingat adalah nasihat “sampai bila nak jadi macam ini” yang selalu diulangi kepada saya.

“Saya pernah ditangkap tiga kali. Masa kali pertama ditangkap, tidak rasa apa-apa, kali kedua terfikir tentang keluarga dan kali ketiga terfikir masa hadapan. Ketika itu saya nekad untuk berubah,” katanya.

Katanya, dia amat bersyukur apabila ALLAH memberinya peluang untuk menunaikan umrah.

“Perasaan bersyukur. Alhamdulillah. Ada terfikir untuk tunaikan umrah tetapi kalau nak tunggu simpan duit memang tak tahulah bila. Tapi bila ALLAH dah bagi peluang, saya bersyukur.

Namun Mohammad sebenarnya hampir terpaksa membatalkan hasrat untuk menunaikan umrah apabila tangannya dipatuk ular kapak beberapa hari lalu.

“Saya tawakal sahaja pada ketika itu tetapi alhamdulillah saya berkesempatan tunaikan umrah,” katanya.

Dia akan ke Makkah dengan tangan bengkak dan berbalut namun kesakitan itu tidak sedikit pun membataskan hasratnya menunaikan ibadah di tanah suci.

“Doa saya depan Kaabah nanti adalah untuk minta ampun bagi pihak orang tua saya dan sesiapa sahaja yang pernah saya buat salah,” katanya.

Seorang lagi OKP yang akan ke Makkah, Mat Daud Mohamad, 42, berkata, dia bersyukur ALLAH memberikan peluang menjadi tetamu-Nya.

“Saya juga berhasrat untuk membimbing adik-adik yang terlanjur dalam najis dadah,” katanya yang bergelumang dalam najis dadah selama lebih 10 tahun akibat tekanan jiwa.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Jasri Kassim berkata, kesemua 19 OKP tersebut akan menjalani ibadah umrah secara percuma selama dua minggu.

“Mereka ini dipilih berdasarkan komitmen kepada program pemulihan yang dijalankan AADK di kawasan Baling, Kedah,” katanya.

Kata Jasri, ibadah umrah percuma itu kali pertama dibuat dan ia kemuncak program keagamaan yang dilaksanakan di AADK.

“Kita harapkan program ini berterusan kerana ini merupakan rentetan program keagamaan yang kita laksanakan di AADK. Kita gunakan pendekatan keagamaan untuk tingkatkan pemulihan OKP,” katanya.

Menurutnya, 19 OKP itu ditaja oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji.

Menurut Jasri, peluang menunaikan umrah itu diharap menjadi kekuatan kepada mereka untuk berubah selain menjadi ikon dan contoh untuk penagih lain.

“AADK juga berharap agar lebih banyak pihak tampil memberikan sokongan kepada OKP yang sedang dalam proses rawatan dan pemulihan,” katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor