Putrajaya - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan surat yang dihantar pada 18 Disember lalu kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) adalah penjelasan status rakyat Malaysia sedang dibicarakan di mahkamah negara itu.
Surat berkenaan dihantar kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Giuliano. Menurutnya, surat itu bukan surat sokongan untuk tidak mendakwa Paul Seng Phua yang dituduh terlibat dengan aktiviti perjudian haram di Amerika Syarikat.
"Sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan negara, saya telah menjelaskan status Seng Phua dan kongsi gelap 14K Triad.
"Sepertimana yang telah dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, tidak wujud Kumpulan Kongsi Gelap 14 Triad di Malaysia dan Seng Phua bukanlah ahli kepada kumpulan berkenaan di negara ini," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.
Beliau turut menjelaskan pertikaian berkenaan kandungan suratnya mengenai Seng Phua adalah bertujuan untuk membantu kerajaan dalam urusan keselamatan.
"Ia tidak dapat didedahkan kerana melibatkan isu keselamatan yang berstatus rahsia besar dan tidak boleh sewenang-wenanngnya di war-warkan kepada umum atas faktor kepentingan dan keselamatan negara.
"Bahkan maklumat-maklumat rasmi kerajaan tersebut turut dilindungi Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.
Tambahnya, beliau telah membuat penjelasan kepada jemaah menteri mengenai surat yang telah ditandatangani dan dihantar kepada FBI itu.
"Kabinet menerima penjelasan yang diberikan saya dengan baik," katanya.
Katanya, surat-surat penjelasan seumpama itu juga pernah ditandatangani dan dikeluarkan oleh Menteri-menteri Dalam Negeri sebelumnya.
Ahmad Zahid berkata, dengan menggunakan budi bicara, beliau telah mengeluarkan surat penjelasan status Seng Phua kepada pihak FBI dan bukan surat sokongan untuk tidak mendakwannya seperti yang dilaporkan oleh sesetengan portal berita.
Beliau turut memaklumkan pengeluaran surat berkenaan bukanlah atas permintaan kerajaan AS tetapi daripada peguam yang mengendalikan kes itu.
Seng Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini dalam tahanan rumah di Amerika Syarikat dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.
Seng Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012.
Beliau menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo 100k Super High Roller 2014 dan dia juga disyaki terlibat dengan kegiatan kongsi gelap 14K Triad, sebuah kumpulan kongsi gelap dan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Berikutan penahanan Seng Phua, firma guamannya, Chesnoff & Schonfeld telah memohon Ahmad Zahid agar mengeluarkan surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Giuliano untuk mengesahkan yang lelaki itu bukan seorang anggota 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.
Pada 18 Disember, 2014, Ahmad Zahid menulis kepada Giuliano menyatakan Seng Phua bukan anggota kongsi gelap 14k dan kumpulan 14k tidak pernah wujud di Malaysia.
Kelmarin, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi Kabinet mendengar penjelasan Hamidi berhubung suratnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan berkaitan dengan Seng Phua.
[ARTIKEL BERKAITAN: Zahid beri penjelasan kepada Kabinet isu surat FBI]
Anifah berkata, Zahid telah menjelaskan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor