Bagan Terap – Kira-kira lima peratus penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Parlimen Sabak Bernam pada tahun lalu tidak membuat tuntutan Insurans Takaful Berkelompok 1Malaysia (i-BR1M) disebabkan kegagalan mereka mengemaskini nama waris pada borang bantuan.
Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, mana-mana waris penerima BR1M sepatutnya berhak untuk membuat tuntutan itu, sekiranya penerima BR1M terlibat dalam kes kematian.
Menurutnya, pada tahun lalu, mereka layak untuk menuntut sehingga RM30,000 untuk kematian disebabkan kemalangan dan kemalangan mengakibatkan Hilang Upaya Kekal Menyeluruh (TPD) dan RM1,000 untuk kematian biasa.
“Namun, tuntutan pada tahun ini hanyalah sebanyak RM1,000 untuk kematian biasa sahaja dan berharap supaya mereka mengemaskini nama waris pada borang sama ada menerusi perkhidmatan atas talian atau secara manual,” katanya.
Terdahulu, Mohd Fasiah merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Terap dan Penyampaian Baucar Persekolahan RM100 kepada murid di sekolah terbabit.
Sebanyak RM22,800 baucar persekolahan diberikan kepada 228 murid di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM2 juta.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan masih memberikan tempoh kepada penerima BR1M supaya mengisi nama waris bagi memudahkan urusan tuntutan dilakukan pada masa akan datang.
“Waris penerima BR1M Parlimen ini boleh terus membuat tuntutan i-BR1M sama ada di BSN Sungai Besar atau Sabak Bernam atau mana-mana BSN berhampiran dengan membawa MyKad dan surat kematian asli,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor