Pages

Tuesday, January 13, 2015

PEMINJAM TEKUN, AGROBANK DIBENAR TANGGUH BAYARAN


Ismail Sabri


Temerloh - Peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) yang terjejas teruk dengan banjir di seluruh negara diberikan kelonggaran menangguhkan bayaran semula pinjaman itu sehingga tiga bulan. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi peminjam Agrobank pula, mereka dibenarkan menangguhkan pembayaran pinjaman sehingga 12 bulan, iaitu bagi peminjam yang mengalami kemusnahan 80 hingga 100 peratus.

"Para peminjam ini baru berhadapan dengan bencana banjir yang teruk dan kita memahami keadaan mereka, jadi, kita akan membuat penstrukturan atau penjadualan semula dari segi bayaran balik pinjaman," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir negeri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata peniaga kecil atau peniaga hasil tani yang terjejas juga boleh memohon pinjaman khas berjumlah RM10,000 daripada Tekun untuk memulakan semula peniagaan mereka.

"Permohonan mereka akan diproses secara 'laluan khas' untuk mempercepatkan kelulusan kerana pada masa ini sudah ada peniaga yang kembali berniaga di mana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) turut memberikan bantuan khemah, payung dan meja kepada mereka, " katanya.

Mengenai jumlah kerosakan yang dialami petani, penternak dan nelayan, beliau berkata anggaran kasar adalah RM150 juta dan angka sebenar mungkin dapat diumumkan esok.

Justeru, beliau meminta golongan itu yang terjejas banjir supaya melaporkan kerugian yang dialami mereka kepada agensi di bawah kementerian supaya pampasan dapat dibayar secepat mungkin.

"Contohnya, bagi penternak lembu, kementerian membayar RM600 untuk seekor lembu dengan bayaran sehingga maksimum 10 ekor dan itu adalah formula yang telah digunakan sejak sekian lama apabila penternak dilanda bencana," katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan bantuan pasca banjir berjumlah RM2.03 juta kepada 20,300 buah keluarga di negeri Pahang yang terlibat dengan banjir.

Bantuan dalam bentuk makanan mentah dan dalam tin itu disampaikan kepada Ketua Umno Bahagian yang terlibat dengan banjir di Pahang, antaranya Temerloh, Maran, Jerantut dan Kuala Krau.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor