Pekan – Kegembiraan sepasang suami isteri apabila Institut Jantung Negara (IJN) menyediakan tarikh lebih awal untuk pembedahan injap jantung anak bongsu mereka terbantut apabila memikirkan kos perbelanjaan yang perlu ditanggung belum mencukupi.
Mazlan Zakaria, 46, dan isterinya Khamsiah Omar, 45, memberitahu, saat tersebut adalah paling dinanti-nantikan oleh mereka, namun apabila memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk pembedahan Mohamad Nazmi Haziq, tiga tahun, perasaan gembira dan runsing saling bercampur-baur.
"Peluang ini memang kami tunggu-tunggu... Sebabnya, kalau ikutkan kami perlu tunggu sehingga Mac ni untuk dapatkan tarikh kosong dari IJN. Tapi itulah, masalah yang merunsingkan kami kini adalah kos pembiayaan tak cukup lagi untuk pembedahan adik," kata Khamsiah.
Tambahnya, ada ahli keluarga mereka sudi menghulurkan bantuan sebaik sahaja pihak IJN maklumkan mengenai perubahan tarikh pembedahan empat hari lalu, iaitu seminggu sebelum pembedahan yang akan dilakukan pada 29 Januari ini.
“Masa diberitahu tentang perubahan tarikh tu, saya dan suami gembira sangat-sangat. Kami dah tak sanggup tengok Adik tanggung derita sampaikan tak mampu berjalan macam kanak-kanak normal seusianya. Adik lekas penat dan muka jadi lebam membiru akibat salur injap jantung semakin sempit.
“Adik pernah dibedah kali pertama untuk meluaskan saluran pernafasan ketika umurnya 40 hari. Masa tu, doktor ada beritahu yang Adik kena perlu menjalani pembedahan sama selepas masuk umur tiga tahun sebab dia tak akan mampu tampung keperluan oksigen yang tak sepadan dengan dirinya,” katanya.
Khamsiah berkata, sebagai ibu dia ingin melihat anaknya itu hidup sihat dan ceria seperti kanak-kanak lain, namun mengenangkan kos pembedahan RM35,000 yang bakal dikenakan membuatkan dia dan suami buntu memandangkan simpanan yang ada tidak mencukupi.
Malah, pembedahan memperbaiki bibir pada April 2013 sahaja telah menelan kos berbelas ribu ringgit.
“Jika saya dan suami menolak tarikh baru yang diberi pihak IJN, tak tahu bila pula tarikh pembedahan lain akan ditentukan... sedangkan kami sendiri nak sangat tengok Adik sihat dan jalani hidup baru. Saya berharap dengan kuasa ALLAH SWT, harapan nak tengok Adik berjalan dan bermain dengan kanak-kanak lain tercapai dengan usaha menjalani pembedahan ini.
“Saya dan suami tahu, dugaan untuk kami akan terus hadir kerana Adik perlu menjalani pembedahan membuat lelangit, gigi dan lain-lain di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas selesai dan pulih dari pembedahan memasang injap jantung kekal Khamis ini.
"Tapi, walau apa pun berlaku saya tak pernah putus harap," katanya sambil memberitahu kos beberapa siri pembedahan anaknya begitu menguji kehidupan mereka sekeluarga mendangkan pendapatan suami hanya bekerja sebagai pemandu bas ekspres dan dirinya membantu dengan bekerja sebagai pembantu katering.
Khamsiah berkata, keadaan Adik yang sering sakit menyebabkan suaminya terpaksa kerap mengambil cuti kerana perlu membawa anak mereka mendapatkan rawatan di Hospital Pekan HKL, IJN dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
“Gaji suami tak banyak... malah tak menentu. Dengan gaji dia (suami) tulah nak tampung kos pengajian anak kedua di kolej dan belanja persekolahan dua lagi anak yang kini berada di tingkatan empat dan lima.
“Keperluan menyediakan wang untuk menampung kos perubatan Adik sememangnya beri tekanan kepada kami yang terlalu ingin melihatnya sembuh sekali gus jauh dari derita yang ditanggungnya sejak kecil,” katanya sebak.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun simpanan Giro Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 06002-41-00006852-6 atas penama Khamsiah Omar dan Adik, Mohamad Nazmi Haziq Mazlan.
Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan berita mengenai keluarga ini yang memohon bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan kedua Mohamad Nazmi Haziq pada Mac 2013 yang dilahirkan dengan kecacatan mulut dan hidung (sumbing bibir dan celah lelangit) serta masalah jantung.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor