Putrajaya - Malaysia bukan dalam keadaan gawat atau krisis seperti yang dihadapi pada tahun tahun-tahun 1997 dan 1998 serta 2009, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, strategi-strategi yang digariskan dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara yang diumumkan hari ini adalah langkah proaktif dan penyesuaian berikutan faktor ekonomi luaran yang di luar kawalan kerajaan.
"Kita bukan dalam keadaan gawat atau krisis seperti pada tahun-tahun 1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti 2009 yang lalu, sehingga pakej-pakej rangsangan perlu dilaksanakan," katanya.
Sehubungan itu, kata Perdana Menteri perbelanjaan pembangunan berjumlah RM48.5 bilion yang diperuntukkan dalam Bajet 2015, tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.
Bagaimanapun perbelanjaan mengurus dijangka dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion, dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.
Najib berkata demikian dalam perutusan khas tentang perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Najib menegaskan semua projek pembangunan, khususnya yang bersifat 'ekonomi rakyat', termasuk perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan elektrik, air dan projek-projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, projek MRT jajaran kedua, LRT3 dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, akan tetap diteruskan.
"Malah, pada Mei nanti, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan pembangunan negara sehingga tahun 2020," katanya.
Perdana Menteri dalam ucapannya menuntut pemahaman rakyat bahawa persekitaran dan percaturan ekonomi dunia yang telah berubah, memberi impak kepada Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.
Berdasarkan perubahan itu, kata Najib, beberapa perkara pokok yang telah diunjurkan kerajaan bagi merancang kewangan dan ekonomi negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan semasanya.
"Dan pada masa yang sama, kita mahu memastikan pembangunan negara dan kebajikan sosioekonomi rakyat terus menjadi tumpuan utama kerajaan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor