Pages

Sunday, January 18, 2015

MASJID MUKIM KUALA NAL LOKASI BARU #KITAKANISLAM


Sukarelawan mengumpulkan bungkusan kain di satu tempat sebelum dibuang. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH


Kuala Krai - Walaupun sudah dua kali gotong-royong membersihkan Masjid Mukim Kuala Nal dibuat selepas ditenggelami banjir besar, akhir bulan lalu, masih banyak perlu dilakukan untuk mengembalikan keadaan asal rumah ibadat itu.

Gotong-royong membabitkan sukarelawan dari Perak pada kali pertama hanya mampu membuang sebahagian lumpur dalam masjid berkenaan dan peralatan yang rosak, perkara sama juga dilakukan dalam gotong-royong kedua oleh sukarelawan dari Kedah.

Keadaan masjid tersebut yang masih berlumpur walaupun penduduk sendiri berusaha membersihkannya sekadar terdaya, menyebabkan mereka terpaksa menunaikan solat terutama solat Jumaat dalam suasana kurang selesa sejak tiga minggu lalu.

Justeru, kedatangan sekumpulan 200 sukarelawan bagi membersihkan masjid itu di bawah kempen #KitakanIslam, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) semalam, membawa rahmat tersendiri buat penduduk.

Menerusi kempen tersebut, masjid berkenaan dibersihkan sepenuhnya termasuk dicat semula dan dipulihkan dengan peralatan baharu seperti al-Quran dan sejadah sebelum diimarahkan dengan program Aktifkan Rumah Ngaji.

Setiausaha masjid berkenaan, Ahmad Zainali Abdul Rahman berkata, mewakili penduduk, dia berbesar hati dan berterima kasih kepada WUI kerana memilih masjid yang ditenggelami air selama seminggu itu untuk kempen #KitakanIslam.

“Terima kasih kepada rombongan sukarelawan WUI kerana sanggup datang ke kampung ini untuk bersihkan masjid kami dan bawa juga bersama cat serta kelengkapan masjid seperti sejadah dan al-Quran.

“Memang banyak lagi perlu dibuat untuk masjid ini pulih sepenuhnya tetapi dengan gotong-royong hari ini (semalam), penduduk kampung boleh usahakan sendiri selepas ini seperti pendawaian semula elektrik,” katanya.

Kempen di masjid tersebut disertai sukarelawan daripada Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), Sinar Harian, Astro Oasis, Cuci Masjid Community dari Johor, Muslim Volunteer Malaysia, THR Gegar dan SinarTV.

Turut serta, Timbalan Pengerusi Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah, imam masjid berkenaan, Abdul Halim Mohd Noor dan seramai 120 sukarelawan Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (Koperat).

Sementara itu, Eksekutif WUI yang juga pengurus projek berkenaan, Naquiah Mohd Noor berkata, kempen #KitakanIslam di Masjid Mukim Kuala Nal adalah yang kedua selepas kempen pertama di Kampung Laut, Tumpat.

Menurutnya, kempen merangkumi tiga fasa iaitu Cuci, Pulih dan Iqra’ menerusi program Aktifkan Rumah Ngaji itu menyasarkan masjid di negeri ini yang terjejas teruk akibat banjir besar, baru-baru ini.

“Menerusi kempen ini, kita pergi ke masjid yang terjejas banjir untuk buat program Aktifkan Rumah Ngaji tetapi sebelum itu, kita bersihkan dahulu, pasang karpet baharu dan cat semula masjid,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor