Bagan Serai - Malaysia mampu mengoptimum pembangunan akuakultur berdasarkan potensi sumber kawasan, kesesuaian iklim serta kedapatan teknologi pengeluaran dalam memenuhi peningkatan permintaan di pasaran domestik dan global.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Ismail Abu Hassan berkata berdasarkan potensi itu, pihaknya telah diarahkan untuk menyediakan pelan tindakan bagi menggalakkan pembangunan akuakultur sehingga mampu menyumbang 50 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan negara menjelang tahun 2020.
"Sasaran baharu sebanyak 1.76 juta tan metrik telah dijadikan satu daripada inisiatif utama di bawah Program Transformasi Agromakanan bagi memastikan subsektor perikanan terus menyumbang kepada kecukupan bekalan makanan negara, meningkatkan pendapatan pengusaha dan menjadikan bidang agromakanan sebagai perniagaan yang berdaya saing serta mampan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Kesedaran dan Promosi Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) Sektor Akuakultur di Bukit Merah Lake Town Resort di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Perancang dan Pembangunan Jabatan Perikanan Malaysia Ahmad Hazizi Aziz.
Ismail berkata kerajaan telah mengenal pasti akuakultur sebagai satu daripada sumber utama untuk meningkatkan pengeluaran ikan bagi memenuhi permintaan domestik dan memperkembang potensi eksport.
"Peningkatan pengeluaran spesies akuakultur seperti ikan air tawar (tilapia, keli dan patin) dan ikan marin (siakap, jenahak dan ikan merah) mampu menjadi pengganti bagi mengurangkan import.
"Perkembangan akuakultur negara telah menunjukkan perkembangan pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 8 peratus setahun dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu," katanya.
Katanya kerajaan terus memberi tumpuan untuk menggalakkan pembangunan akuakultur negara melalui program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh dan tersenarai dalam kalangan Projek Utama di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Sektor Pertanian sehingga tahun 2020.
Beliau berkata perusahaan perikanan juga telah menjana perdagangan ikan dan produk ikan bernilai kira-kira RM6 bilion setahun dengan benua Amerika Utara serta Eropah menjadi destinasi tradisi utama bagi eksport produk perikanan Malaysia.
Ismail juga berkata permintaan import negara maju di Asia Tenggara dan Asia Timur turut menunjukkan trend peningkatan besar untuk diteroka secara agresif.
Beliau berkata berdasarkan statistik kementerian bagi 2007 hingga 2010, Malaysia mengeksport udang laut dengan nilai RM630 juta masing-masing ke negara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat; RM486 juta eksport ikan marin hidup dan produk udang laut serta sotong ke China, Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan; RM340 juta eksport ikan marin segar, udang dan ikan hiasan ke Singapura.
Sehubungan itu, katanya, kesedaran dan pelaksanaan MyGAP amat penting untuk mencapai sasaran yang ditetapkan selain mampu menghasilkan produk yang selamat serta berkualiti dengan mengambil kira ekonomi, kelestarian dan alam sekitar.
"Amalan akuakultur baik merupakan panduan asas kepada penternak yang bertanggungjawab dalam memastikan aktiviti ternakan menghasilkan pengeluaran berkualiti dan selamat dimakan serta memenuhi kehendak pasaran agar produk berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor