Pages

Thursday, January 15, 2015

LIPIS: WARGA EMAS TINGGAL DI GARAJ KERETA


Samsiah ketika menerima kunjungan Mustapa (duduk, dua kiri) dan Wan Zamzamin (duduk, kiri) di Kampung Aur Gading di sini, kelmarin.


Kuala Lipis - Seorang warga emas terpaksa menjadikan garaj kereta sebagai tempat berteduh setelah rumahnya musnah dalam kejadian banjir di daerah ini tiga minggu lalu.

Walaupun tidak selesa, Samsiah Deraman, 86, bersama tujuh lagi ahli keluarganya terpaksa menjadikan garaj yang dibina menggunakan atap zink di Kampung Aur Gading itu sebagai kediaman mereka kerana tiada pilihan.

“Rumah pusaka yang wan diami sejak sekian lama musnah sekelip mata masa banjir hari tu... Lebih menyedihkan banyak barang tak dapat diselamatkan. Bila banjir dah surut, kami ahli keluarga pakat-pakat nak membina 'rumah' sementara di garaj kereta ni. Kami buat guna atap zink. Keadaan tinggal di sini memang sangat tak selesa... wan harap sangat ada datang tolong kami, berikan kami kediaman lebih elok untuk tinggal,” katanya sebak.

Samsiah ditemui ketika menerima kunjungan Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long bersama Penasihat Eksekutif Syarikat perlombongan, J Resources Penjom Golden Mine (JRPGM), Penjom, Datuk Sri Ahmad Zamzamin Hashim.

Sempena kunjungan berkenaan, Ahmad Zamzamin turut menyampaikan 200 bungkusan makanan, kain selimut dan bahan pencuci kepada penduduk di Kampung Aur Gading dan Kampung Chegar Perah.

Samsiah berkata, walaupun hilang segala harta benda, dia bersyukur kerana ALLAH SWT masih memberikannya peluang untuk hidup.

“Sebelum ni, banjir biasa paras buku lali saja... banjir macam tu kami dah biasa... Tapi banjir kali ni teruk betul.

“Musibah dari hujan yang berjam-jam tu dah musnahkan semuanya. Rumah yang wan duduk berpuluh tahun dulu habis tak ada dah...” katanya sayu.

Sementara itu, Mustapa berkata, pihaknya akan cuba membantu membaik pulih dan membina semula rumah penduduk di situ yang musnah dilanda banjir.

“Kita rancang menempatkan mangsa banjir di penempatan baharu di kawasan berhampiran dan kita berharap mereka bersabar serta tabah menempuh dugaan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor