Pages

Saturday, January 24, 2015

LIHAT PERSPEKTIF PERTANGGUGJAWABAN BERSAMA



Pengurusan semasa dan pasca banjir kali ini kata DS Najib, dipecahkan kepada tiga peringkat iaitu bantuan terhadap mangsa banjir; membersih sekolah serta kemudahan awam supaya dapat beroperasi seperti biasa; selain, tumpuan membina kembali kediaman yang musnah.

Keutamaan sekarang ialah untuk membina rumah baharu untuk mangsa banjir yang kehilangan rumah dan mempunyai tanah sendiri, manakala bagi mereka yang tinggal di kawasan setinggan akan dirujuk kepada Kerajaan Negeri untuk kawasan pertempatan sesuai. 

Sebelum itu, dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Yayasan Pahang (YP) kepada 260 pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Paloh Hinai dekat sini, Perdana Menteri menyarankan agar rakyat mempunyai perspektif baharu dalam menghadapi bencana alam.

Perspektif baharu itu ialah dengan turut bertanggungjawab bagi mengurangkan punca-punca berlakunya banjir melalui pematuhan mereka sendiri terhadap undang-undang yang ditetapkan.

“Kita selalu tuding jari kepada Kerajaan kalau ada kelemahan untuk tangani bencana ini, tetapi sebenarnya ia juga tanggungjawab bersama kerana sebagai rakyat, kita perlu mematuhi undang-undang atau peraturan.

“Kalau sudah diluluskan kawasan untuk menebang dan membuka tanah pertanian, kita perlu patuh pada undang-undang. Kalau kelulusan satu (1) ekar, jangan buka satu ekar tambah empat. Yang empat ekar lagi jadi tanah haram,” katanya.

Begitu juga dengan kegiatan perlombongan dan penerokaan tanah untuk pertanian yang menurutnya, perlu mematuhi garis panduan pembangunan secara mampan untuk mengelak kesan pencemaran alam itu terpalit kepada rakyat.

Dalam menghadapi musibah banjir ini katanya, beliau merasa lega apabila ia telah berjaya menyatukan semua lapisan rakyat di seluruh negara tanpa mengira bangsa serta agama, apabila bantuan tidak putus-putus dihantar ke negeri-negeri yang terjejas dengan banjir.

Perdana Menteri seterusnya mengingatkan orangramai khususnya mangsa-mangsa banjir supaya menitikberatkan soal kesihatan terutamanya aspek pemakanan.
“Saya sepatutnya datang buat lawatan lebih awal tetapi saya juga tergolong dalam mangsa banjir sebab terkena (jangkitan bakteria) E-coli... tidak dapat keluar rumah. Pengalaman itu kalau boleh saya tak nak ulang balik.

“Sebab itu saya nak ingatkan, kalau nak minum, kena minum air yang bersih dan yang telah dimasak. Begitu juga kalau nak makan, kena pastikan bahan-bahan yang nak dimasak itu dibasuh dengan teliti,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor