Pages

Sunday, January 25, 2015

KUANTAN : PENDUDUK RELA SABUNG NYAWA

Keadaan jejantas yang dibina untuk pejalan kaki dilihat tidak praktikal untuk penduduk kerana mereka lebih selesa menunggang motosikal dan basikal.


Penduduk Kampung Pandan di sini mencadangkan sebuah jejantas yang lebih fleksibel dan selesa untuk kegunaan pejalan kaki dan pengguna motosikal daripada jejantas yang sedia ada.

Mereka mendakwa, jejantas berkenaan tidak mendatangkan banyak manfaat kepada penduduk apabila penunggang motosikal dan basikal tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut.

Ketua Kampung Pandan, Abdul Radzi Ahmad berkata, jejantas yang dibina bertangga untuk kemudahan pejalan kaki tetapi tidak ramai yang menggunakannya kerana kebanyakannya mempunyai kenderaan sendiri.

“Walaupun ada penunggang motosikal menggunakan jejantas ini, mereka berisiko berdepan dengan kemalangan kerana struktur binaan yang curam.

“Ada juga penduduk bersabung nyawa melintasi laluan empat hala daripada menggunakan jejantas ini,” katanya.

Beliau berkata, permohonan sudah dikemukakan dalam mesyuarat bersama jabatan dan pihak berkuasa tempatan sebelum ini sebelum ini supaya jejantas itu diubahsuai untuk kemudahan pengguna motosikal, basikal dan pejalan kaki.

Abdul Radzi berkata, ketika sesi persekolahan, ramai kanak-kanak dan warga emas tidak menggunakan kemudahan itu dan lebih membimbangkan mereka turut melintas jalan ketika waktu puncak pagi dan petang.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan jejantas yang landai sangat diperlukan kerana jalan berkenaan berbahaya kerana menjadi laluan dari Kemaman, kawasan perumahan setempat ke pusat bandar.

“Lori-lori besar juga kerap lalu lalang di sini yang lebih memberikan risiko kepada penduduk berdepan dengan kemalangan jalan raya,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berkuasa dapat menilai semula situasi penduduk di sini dengan membina kemudahan yang diperlukan oleh mereka.

Jejantas sedia ada dikatakan tidak praktikal untuk penduduk dan juga pengguna jalan raya yang lain kerana boleh menyebabkan risiko kemalangan.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor