Pages

Wednesday, January 28, 2015

KUANTAN: LELAKI MASUK JERAT POLIS


Suspek yang ditahan dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut.


Kuantan - Dua lelaki termasuk seorang yang dikehendaki kerana dipercayai terlibat dalam kes jenayah dan dadah terjerat dalam satu pemeriksaan polis di kawasan perumahan Taman Indera Sempurna, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 4.30 pagi semalam selepas kereta dinaiki mereka ditahan untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebelum itu sepasukan anggotanya diketuai Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin sedang membuat tugas rondaan di kawasan tersebut sebelum terserempak dengan kereta dinaiki dua lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggotanya mengarahkan lelaki tersebut berhentikan kereta untuk pemeriksaan.

“Ketika ditahan mereka memberi alasan sedang bersiar-siar di kawasan tersebut bagaimanapun curiga dengan jawapan itu, anggota polis terlibat meminta mereka turun dari kereta untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil semakan rekod mendapati, mereka adalah orang yang dikehendaki berhubung kes dadah dan jenayah di Jerantut tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas kereta dinaiki namun tidak menemui sebarang senjata atau barang salah.

“Semua suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut termasuk menjalani ujian air saringan air kencing.

“Hasil ujian dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenismethaphatamine,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau manakala seorang lagi dikehendaki kerana lari dari pusat pemulihan dadah.

“Kita menahan mereka untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti sama ada suspek terlibat dalam kegiatan jenayah lain di daerah ini.

“Mereka juga ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap terutama di kawasan perumahan bagi memastikan kegiatan jenayah dapat ditangani secara menyeluruh.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor