Pages

Tuesday, January 27, 2015

KUANTAN: KUMPULAN 'ZAL SUNGAI KARANG' TUMPAS


Kuantan - Polis menumpaskan kumpulan 'Zal Sungai Karang' yang didalangi dua beradik yang mencuri motosikal di bandar ini, dalam tangkapan petang semalam.

Dua beradik berusia 17 dan 23 tahun itu diberkas hasil penahanan tiga lagi anggota kumpulan itu pada Sabtu lepas kerana memiliki motosikal curi.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner, Abdul Aziz Salleh berkata, tiga lelaki dalam lingkungan 23 hingga 28 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah bengkel kereta dekat Beserah.

"Hasil soal siasat mereka mengaku terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal dengan seorang lelaki dikenali sebagai 'Boy' menyebabkan polis melakukan operasi khas untuk memberkasnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Berikutan itu, katanya polis telah melakukan serbuan di sebuah rumah di Sungai Karang Darat dekat sini pada pukul 5 petang semalam dan berjaya menahan 'Boy' dan adiknya.

Beliau berkata, dua beradik bersama tiga lagi lelaki terbabit mengaku mencuri sekurang-kurangnya lima motosikal di kawasan Beserah dan sekitar bandar ini.

Katanya, polis turut menemui dua rangka dan enjin motosikal jenis EX5 serta Yamaha LC yang disembunyikan di dalam semak di belakang rumah salah seorang suspek di Sungai Karang dekat sini pada jam 8 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan lanjut polis turut merampas dua 'allen key ' dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah itu dan pada masa sama turut menjumpai semula lima motosikal yang dicuri," katanya.

Katanya, kesemua suspek yang turut positif dadah jenis methaphatamine kini ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki motosikal curi.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor