Pages

Friday, January 23, 2015

KUANTAN: DERITA HIDAP PENYAKIT MISTERI


Nor Atikah kelihatan ceria selepas dikunjungi ahli Biro Kebajikan Umno Bahagian Paya Besar di rumahnya dekat Felda Bukit Sagu di sini.


Kuantan – Bukan sahaja derita penyakit misteri, malah berat badan seorang gadis di Felda Bukit Sagu di sini turut turun mendadak.

Nor Atikah Marhat, 26, berkata, dia mula diserang penyakit ini sejak tahun 2008 ketika sedang belajar di Politeknik Pulau Pinang.

Menurutnya, dari berat 52 kilogram, kini berat badannya hanya tinggal 28 kilogram sahaja menyebabkan dia tidak mampu berjalan dan mengimbang badan.

“Pada mulanya saya sakit-sakit badan dan batuk. Walaupun sudah puas menelan ubat dan berjumpa doktor, keadaan saya tidak banyak berubah.

“Disebabkan itu, pensyarah menyarankan agar saya tangguh pengajian saya dan minta sambung balik apabila sudah sihat nanti.

“Bagaimanapun, sehingga ke hari ini keadaan saya semakin teruk menyebabkan hasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal terpaksa dilupakan,” katanya.

Di samping itu juga, doktor yang merawat Nor Atikah turut menyarankan agar dia menjalani rawatan tradisional ataupun alternatif memandangkan perubatan moden tidak dapat mengesan penyakit yang dihidapinya ini.

Nor Atikah juga tidak lalu makan dan menelan makanan yang ada di dalam mulutnya, menyebabkan badannya kini hanya tinggal tulang.

Ibunya, Normah Shaari,54 berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu juga terpaksa bergantung kepada pertolongan ahli keluarga untuk bergerak.

“Disebabkan keadaan dia begitu, dia tidak mampu menguruskan diri sendiri. Tetapi ada ketikanya dia seolah-olah mempunyai kekuatan luar biasa, sehingga terpaksa dipegang oleh dua tiga orang dewasa.

“Saya juga sudah merata membawa dia berubat, tetapi sehingga ke hari ini, tiada perubatan yang sesuai dengan dirinya.

“Hanya doa yang mampu kami sekeluarga lakukan untuk melihat dia sihat kembali. Jika ada orang nak aniaya dia sekalipun, saya tidak pasti apa sebabnya kerana seingat saya, Nor Atikah tidak mempunyai musuh,” katanya.

Nasib Nor Atikah mendapat perhatian daripada Biro Kebajikan Umno Bahagian Paya Besar yang turut menyampaikan sumbangan bai meringankan beban.

Pengerusi Biro Kebajikan, Safariah Awang Ngah berharap agar penyakit yang dideritai oleh Nor Atikah ini sembuh kembali.

“Hanya usaha, doa dan tawakal sahaja yang kita ada untuk melihat kesihatan adik Nor Atikah pulih kembali.

"Semoga dia dan keluarganya dikurniakan kesabaran untuk melawan penyakit ini,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan gadis ini.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor