Pages

Wednesday, January 28, 2015

HANYA MENUMPANG KASIH JIRAN


Mawar (kanan) sedang memberi Maimunah (kiri) minum.


Segamat - Tiada sesiapa menyangka keadaan sebuah rumah yang hampir roboh dan terletak agak jauh dari kawasan rumah penduduk di Kampung Gelang Chinchin, di sini, didiami seorang warga emas uzur.

Maimunah Yahaya, 86, yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, dia tinggal sebatang kara di rumah tersebut selepas kematian suami, Jaafar Mamat, kira-kira beberapa tahun lalu akibat sakit tua.

“Rumah yang makcik duduk ini peninggalan arwah suami. Makcik tinggal seorang diri sebab tak ada sesiapa, kami pun tiada anak.

“Tetapi tanah tiga ekar rumah ini sudah dijual anak tiri makcik. Kiranya makcik sekarang menumpang di tanah orang,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa meletakkan bekas tadahan air setiap kali hujan kerana bumbung bocor dan berlubang selain terpaksa tidur di atas timbunan kain bagi mengelakkan kesejukan.

“Dulu semasa arwah suami ada, rumah ini tak begitu teruk di makan anai-anai seperti sekarang, sebab dia akan baiki dan bersihkan semak samun di halaman.

“Binatang berbisa dari kebun dan semak selalu masuk ke rumah. Baru-baru ini, makcik ada bunuh dua ekor ular yang masuk,” katanya.

Maimunah berkata, dia kini bergantung pada bantuan bulanan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk membeli barang keperluan harian.

Katanya, kira-kira sebulan lalu, pintu dan dinding rumahnya telah dikopak sewaktu dia tiada di rumah dan kini, dapur rumahnya juga tidak berdinding.

Bagaimanapun, nasib malang warga emas tersebut mendapat perhatian seorang penduduk kampung berkenaan, Mawar Hussin, 42, yang mengambil Maimunah untuk tinggal di rumahnya pada waktu malam.

“Setiap hari jam 6 petang saya akan jemput makcik ke rumah dan bila pagi saya hantar makcik pulang ke rumahnya. Saya bimbang keselamatan dan kejadian buruk menimpanya lagi-lagi pada waktu malam,” katanya.

Katanya, setiap hari dia akan menghantar Maimunah ke klinik kesihatan berhampiran untuk memeriksa tekanan darah tinggi dan kencing manis selain membayarkan bil utiliti di rumah tersebut.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan bapanya, Hussin Gam, 76 dan ibunya, Jahara Hussin, 63, mereka bersetuju membantu Maimunah memohon Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kami sudah kemukakan permohonan kira-kira sebulan lalu dan ketua kampung sedang berusaha mendapatkan rumah itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor