Pages

Wednesday, January 14, 2015

FOTO WANITA CEDERA DITEMUI DALAM DUA TELEFON


Awie


Kuala Lumpur - Mahkamah Majistret Ampang di sini diberitahu bahawa sembilan keping gambar seorang wanita yang mengalami kecederaan ditemui di dalam dua buah telefon bimbit yang diambil oleh pegawai penyiasat kes.

Insp Latifah Abdul Aziz, 34, yang bertugas sebagai juruanalisa imej alat elektronik di jabatan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), berkata kesemua gambar tersebut diambil daripada telefon bimbit jenis Samsung dan Blackberry.

"Saya telah menjalankan pemeriksaan terhadap telefon bimbit jenis Samsung menggunakan satu perisian bagi mendapatkan kesemua data yang ada di dalam telefon bimbit tersebut sama ada yang telah dipadam atau data yang telah disembunyikan.

"Hasilnya terdapat empat keping gambar seorang wanita yang mengalami kecederaan di muka," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene dalam hari pertama perbicaraan kes penyanyi rock, Awie yang menghadapi tuduhan mencederakan isterinya, Rozana Misbun, pada Jun tahun lepas.

Selain itu, saksi kedua pendakwaan itu turut menemui lima keping gambar selepas menjalankan pemeriksaan yang sama terhadap telefon bimbit jenis Blackberry pada 3 November tahun lepas.

Pada 4 Julai lepas, Awie, 46, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Rozana, 36, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun tahun lepas.

Awie didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Latifah, yang berpengalaman selama sembilan tahun dalam bidang audio dan video di makmal forensik PDRM, berkata pihaknya menemui sembilan keping gambar yang diambil melalui rakaman kamera litar tertutup.

"Pegawai penyiasat kes telah memohon untuk mendapatkan imej suspek dan pengadu yang sedang berjalan masuk dan keluar dari sebuah bank dan imej pengadu dan suspek semasa berada di kaunter bank. 

"Hasilnya, terdapat sembilan gambar yang diperoleh daripada rakaman berkenaan, namun hasilnya mendapati imej pengadu dan suspek dalam rakaman tersebut tidak menampakkan keseluruhan wajah.   

"Rakaman tersebut hanya memperlihat bahagian sisi dan belakang sahaja kerana resolusi gambar tersebut adalah rendah menyebabkan gambar menjadi kabur," katanya yang gagal mengingati tempoh durasi rakaman tersebut.

Dalam prosiding itu, penyanyi rock itu yang diwakili peguam Hazman Harun hadir bersama rakannya.

Terdahulu, jurugambar PDRM, Konstabel Mohd Fauzi Mohd Noor memberitahu mahkamah beliau telah mengambil tujuh keping gambar pengadu iaitu Rozana pada pukul 5.30 petang, 18 Jun tahun lepas.

"Secara keseluruhannya gambar-gambar tersebut menunjukkan kecederaan pada bahagian hidung, tangan kiri dan tangan kanan," katanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman bersambung hari ini.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor