Pages

Saturday, January 17, 2015

BUKAN SALAH MENJADI KAYA


Suatu hari saya berhenti hendak mengisi minyak. Alih-alih sebuah motosikal tiba-tiba berhenti di tepi pump dan dengan itu saya ternafi untuk kesegeraan.

Penunggang motor terus memasuki ruang kedai/kaunter. Lama saya menunggu. Mungkin dia membayar minyak dan membeli sesuatu. Saya tertanya: adakah dia sengaja membuatkan saya menunggu atau dia terlupa. Kemungkinan juga baris di dalam agak panjang. Pump-pump lain sudah dihuni.

“Saya dulu,” katanya, apabila tiba semula. “Hormatlah sikit.”

Meskipun itu satu tempelak daripada seorang berusia anak kepada seorang berusia bapa, saya menerima saja. Bukan budi yang baik untuk mencetuskan adegan di situ. Hanya saya agak kaget kerana begitu cepat dia mengisi: sebanyak RM2.

“Cepatnya,” terlompat saja dari mulut saya. Ini memandangkan begitu lama saya menunggu dan begitu cepat pengisian berakhir. Tercetus di hati saya: masa yang begitu lama diambil mungkin menafikan pemilik stesen itu RM200 jika dua tiga buah kereta berkesempatan mengisi minyak.

“Ya, saya miskin, awak kaya,” jawabnya menyindir.

Saya tidak terkata. Ini bukan tempatnya untuk berdebat tentang kemiskinan atau kekayaan.

“Bukan kerana dua ringgit awak miskin. Saya bukan kaya kerana ada kereta,” jawab saya.

Kekayaan sentiasa disebut apabila ekonomi diperkatakan. Apabila sejarah dan latar belakang dicerakinkan, kesimpulannya sentiasa terarah kepada satu hala: kebebasan atau liberalisme, tegasnya kebebasan bersyarat di bawah dasar dan undang-undang. Ketiadaan segalanya itu, kekayaan tidak dapat dikekalkan. Perbuatan negatif seperti rasuah, nepotisme dan kronisme akan menganai-anaikan kekayaan. Akhirnya kemiskinan mengambil alih. Lingkaran kemiskinan akan berputar semula.

Ambil jiran kita yang terdekat, Singapura, sebagai contoh. Disiplin yang digerakkan oleh Lee Kuan Yew membuatkan beberapa orang menteri dipenjarakan kerana rasuah atau salah laku yang melanggar undang-undang, dasar dan etika. Begitu juga apa yang dialami oleh sesetengah mereka dalam dunia bisnes dan korporat.

Segalanya itu menjadi satu mesej lantang yang mendisiplinkan rakyatnya. Dunia menjadi yakin. AS mendahului negara-negara lain meletak wang di Singapura sehingga ia menjadi pusat kewangan yang gah. Pada satu-satu masa tertentu, terdapat trilion dolar yang ditanganinya. Nilai wangnya yang dulu sama dengan Ringgit Malaysia, kini sudah lebih dua kali ganda. Itulah latar belakangnya mengapa tempat tanpa sumber alam ini menjadi kaya.

Disiplin yang dimaksudkan bukan saja dalam empat dinding bank tetapi juga dalam kamar mahkamah. Di satu pihak, bank berintegriti mengendalikan wang rakyat; di pihak lain, mahkamah tidak diragui integriti menghukum pesalah laku. Antara cara menghilangkan keraguan ialah mahkamah bukan saja kelihatan bebas tetapi benar-benar bebas. Tidak ada individu yang patut dianggap mengatasi mahkamah, terutama dalam pelantikan barisan hakim.

Boleh dikatakan tiap-tiap malam, lebih-lebih lagi pada Sabtu dan Ahad, orang-orang kaya berkeliaran di TV bermain bola untuk Bayern Munich, Barcelona, Manchester United, Ajax Amsterdam, Palermo, Real Madrid, Benfica, Zenit Petersberg, Galatasaray dan lain-lain. Selain itu semua ‘top 20’ dalam kalangan pemain tenis adalah juga orang-orang kaya, jika pendapatan sejuta dolar setahun menjadi ukurannya.

Untuk tergolong dalam kekayaan begitu, kebebasan mesti wujud. Undang-undang rasuah anti membeli permainan demi perjudian harus ada dan dilaksanakan dengan tegas. Ini adalah kebebasan daripada ancaman salah laku dan niat buruk. Jika tidak, penonton akan marah dan menjauhkan diri dari stadium, lantas kontrak liputan TV yang lumayan ditarik balik, pendapatan dari tiket tumpas, maka pintu bankrapsi terbuka luas. Darabkan ini berpuluh kali, nescaya hiburan kaki bola di kedai-kedai mamak hingga larut malam akan pupus begitu saja.

Dan mamak kerugian bisnes! Nescaya segala pemain kaya yang sentiasa berkeliaran di padang itu akan hanyut ke dalam destinasinya sendiri.

Tentunya apa yang diperkatakan di atas boleh dipanjangkan ke dalam lapangan lain. Wang yang mengayakan pemain bola dan tenis itu samalah juga dengan wang yang mengayakan orang lain. Undang-undanglah sebenarnya mewajarkan kekayaan mereka. Tanpa integriti undang-undang, kewajaran itu hilang, justeru tahap keyakinan akan tergugat.

Dengan kata lain, di situlah letaknya jaminan kebebasan mencari pendapatan – justeru kekayaan. Di sini, kebebasan demikian boleh melonjakkan pemain-pemain kita dalam kelas kekayaan begitu, demi masa. Kebebasan ini menjadi nyata apabila ia disulam dengan kebebasan mahkamah.

Jikalau begitulah halnya, maka bukanlah salah menjadi kaya. Orakan ke arah itu patut menjadi matlamat semua.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor