Bentong - Warga emas yang disyaki hilang 9 Januari lalu ditemui lemas di Sungai Bunus, di sini kira-kira jam 6.45 petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga mangsa, Low Sing Poh, 75, sekitar jam 9.58 malam 9 Januari lalu memaklumkan mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun miliknya.
Menurutnya, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dipercayai mangsa berada dan menemui kereta milik mangsa dan beberapa tandan pisang berhampiran tebing sungai.
“Operasi mencari mangsa dilakukan di sekitar kawasan terbabit namun mangsa gagal ditemui. Operasi terpaksa dihentikan pada jam 12 tengah malam dan bersambung keesokan harinya,” katanya.
Zainal Abidin berkata, pada 10 Januari lalu, operasi mencari diteruskan dan pihak bomba meluaskan pencarian ke dalam sungai kerana mengesyaki kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai berdasarkan kesan-kesan yang ditemui.
“Lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bentong, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Dalam Air (PPDA) dan dan lima anggota dari Unit K9 dikerahkan dalam operasi terbabit.
“Tidak hanya melakukan pencarian di darat malah turut melakukan pencarian di dasar air termasuk menggunakan bot dan menyelam di beberapa kawasan lubuk sekitar bagi mencari mangsa namun usaha hari kedua masih belum menemui mangsa dan operasi dihentikan pada jam 7 malam,” katanya.
Pada hari ketiga pula katanya, operasi bersambung dan kawasan pencarian diluaskan sehingga tujuh kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh dan pihaknya menemui beberapa kawasan yang terdapat bau busuk.
“Kami mengesyaki beberapa kawasan berbau busuk dan telah pergi ke tempat perangkap sampah sungai terbabit bagi melihat sekiranya mangsa berada di situ.
“Pelbagai usaha dilakukan termasuk memasang tali dan menyelam ke dasar air serta menggoncang perangkap sampah agar mangsa ditemui. Operasi dihentikan pada jam 7 malam dan bersambung keesokannya,” katanya.
Katanya lagi, kelmarin, mangsa kemudiannya ditemui cucu mangsa yang terlihat satu susuk tubuh dengan pakaian dikenali sebagai pakaian mangsa lalu melaporkan perkara terbabit kepada pihak bomba.
“Waris menghubungi saya memberitahu terjumpa satu susuk tubuh terapung di seberang sungai berpakaian seperti pakaian mangsa.
“Mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari perangkap sampah kemungkinan di bawa arus selepas usaha menggoncang perangkap sampah terbabit dilakukan oleh pihak bomba,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi terbabit turut mendapat kerjasama pihak Polis Ibu Pejabat Polis daerah dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam).
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor