KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati penduduk di kawasan yang berisiko mengalami banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.
Baginda bertitah ia bagi memudahkan pihak dan agensi yang terlibat dalam urusan pemindahan.
“Saya ingin menasihat juga kepada semua penduduk secara langsung atau tidak langsung dalam soal pemindahan supaya dapat pindah secepat mungkin. Jangan sudah terdesak, baru nak pindah kerana ini boleh menyusahkan ramai pihak,” titah baginda kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan di sini malam tadi.
Pusat itu menempatkan 545 orang terdiri 149 keluarga.
Baginda turut menasihati penduduk di pusat pemindahan supaya bersabar dan menerima segala keperluan yang disediakan kerajaan negeri.
“Saya percaya kerajaan negeri sedang berusaha untuk memberi segala keperluan yang mencukupi dan melakukan pengurusan dengan lebih teratur,” titah baginda.
Mangsa banjir di Pahang dilapor meningkat kepada 2,386 orang daripada 560 keluarga di lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Maran, Jerantut dan Lipis.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor