
GUA MUSANG, 15 Nov (Bernama) -- Masyarakat Orang Asli khuatir tanah tinggi Lojing di sini, menjadi tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (Pati) selepas pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran menahan Pati di Cameron Highlands, Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Sendrop, Rashid Akoh berkata adalah mudah bagi Pati untuk melarikan diri ke Lojing yang terletak di sempadan Cameron Highlands.
"Jika ada operasi menangkap Pati di Cameron Highlands sudah tentu mereka mudah menyusup masuk ke Lojing bagi mencari tempat perlindungan kerana ramai rakan senegara mereka bekerja di kebun sayur-sayuran di Lojing," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Orang Asli Pos Sendrop di sini, Sabtu.
Rashid berkata masyarakat Orang Asli yang tinggal di Lojing bimbang kehadiran Pati itu akan menimbulkan masalah keselamatan kepada mereka dan mahukan pihak berkuasa mengatasi perkara tersebut.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof mencadangkan kepada pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen dan polis membuat operasi serentak di Cameron Highlands dan Lojing untuk menangkap Pati.
Katanya, ini kerana beliau menerima maklumat terdapat lebih 2,000 warga asing berada dalam kawasan kebun sayur di sekitar Lojing dan tidak pasti mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor