Pages

Monday, October 6, 2014

PETROL LEBIH BERNILAI DARI ULAMAK PAS?



BILA harga petrol naik, tiba-tiba kita menjadi pakar ekonomi bersyarah tentang ekonomi negara dan bagaimana kerajaan sepatutnya terus menampung subsidi petrol.

Tetapi bila anak kita malas membaca buku ilmiah, kita jawab, “Tak pa. Kalau dia gagal SPM, kita hantar dia ke pondok untuk menjadi ustaz sahaja!” Inilah nilai seorang ustaz atau ulama jika dibandingkan dengan petrol kereta.

Dr Maza telah mengkritik budaya menghantar anak yang cerdik untuk belajar sains dan yang kurang cerdik untuk belajar agama. Akibatnya, ulama tidak mempunyai daya saing sehebat pakar bidang lain. Seperti saya sebut dalam artikel yang lepas, isu ulama Pas tidak mampu bersaing dengan inteligensia liberal DAP adalah isu yang patut menjadi pengajaran kepada semua pihak, parti dan institusi dakwah yang ingin memartabatkan institusi ulama.

Melahirkan ulama yang kompetitif bukan tanggungjawab institusi rasmi sahaja. Ia memerlukan reformasi akar budaya beragama sehingga kita lihat ulama jauh lebih berharga daripada petrol.

Suara kita kena jauh lebih bising bila kualiti ulama turun kerana dunia makin kompetitif. Kalimah kompetitif atau daya saing perlu dimasukkan dalam zikir harian budaya beragama, dan bukan sekadar kalimah Ya Hanana. Kita perlu lahirkan ulama kompetitif.

Berita terbaru melaporkan ulama Makkah kecewa kerana jemaah haji pun ada yang berselfie di hadapan Kaabah! Mereka ini sepatutnya khusyuk beribadah, bukan khusyuk bersaing untuk dapat lebih banyak like untuk selfie!

Mengapa IS semakin kuat? Bagi saya, IS adalah hasil persaingan sengit antara Zionis Barat dan teroris. Zionis Barat yang telah mengkhianati mandat rakyat yang memilih Morsi sebagai Presiden Mesir secara demokratik telah menguatkan lagi semangat saing mujahidin. Terorisme IS adalah hasil kraftangan Zionis Barat. Saingan tidak mudah dipadamkan begitu sahaja dengan membunuh beramai-ramai pengikut Morsi.

Kes protes pro-demokrasi rakyat Hong Kong terhadap Tanah Besar China secara besar-besaran bila kerajaan China cuba campur tangan politik dalam pilihan raya Hong Kong menandakan yang kerdil (Hong Kong) sudah berani bersaing dengan King Kong (China). Peristiwa berdarah Tianamen Square 1989 langsung tidak melemahkan semangat bersaing mereka.

Tindakan China menutup Google, Youtube, Facebook, Twitter, Instagram hanya menjadikan rakyat Hong Kong makin kreatif dalam saingan. Sekarang mereka beralih ke apps FireChat pula yang tidak bergantung kepada internet untuk komunikasi. Saingan tidak mudah dihentikan dengan ugutan dan penutupan internet.

Datuk Saifuddin Abdullah, bekas Timbalan Menteri Pendidikan mengkritik Akta Hasutan kerana beliau nampak persaingan sebagai landskap politik yang baru. Beliau berkata, “Umno dan BN harus sedar landskap politik sudah berubah dan penindasan tidak akan menyebabkan rakyat mengundi mereka.” Beliau sambung, “Putrajaya harus membezakan di antara kritikan dan hasutan. Mereka harus gembira kerana sekarang berlakunya persaingan idea.”

Kita lihat komen Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Dzulkefly Ahmad juga perlu diberi perhatian serius. Katanya, “Islam sudah tercalar untuk sekian lama hasil kesilapan kita sendiri, tetapi ini tidak bermakna ia sudah terlewat untuk memperbaiki persepsi mengenai agama.”

Apakah persepsi mengenai agama yang mampu menjadikan umat lebih kompetitif? Dr Dzulkefly memberi contoh tokoh politik Tunisia, Rashid al-Ghannouchi. Kalau dulu, Fathi Yakan, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb dijadikan rujukan.

Sekarang Islamis sedar perlunya keluar dari kotak rujukan klasik ini sehingga al-Ghannouchi yang menyokong aspek positif pluralisme pula dijadikan sebagai contoh supaya umat menjadi lebih kompetitif. Apa yang saya gelarkan sebagai ‘Akta Wala’ tidak mampu menghentikan saingan politik dalaman dan luar Pas.

Kesimpulan yang saya ingin tonjolkan di sini ialah pendidikan bakal ulama perlu memasukkan mindset kompetitif atau saingan dalam silibus. Tetapi saingan ini bukan menjadikan mereka terroris seperti IS. Saingan bukan untuk menang politik kepartian. Saingan adalah untuk memantapkan dakwah secara hikmah.

Hikmah dalam berdakwah mewajibkan kita mengkaji semula budaya kita agar bakal ulama mempunyai daya saing yang bersifat nasional dan internasional demi menjaga imej Islam sebagai rahmat dunia.





No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor