SHAH ALAM - Pas Selangor mendesak kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatannya menghalang penganjuran pesta arak 'Octoberfest' di kawasan terbuka kerana ia bercanggah dengan Akta 176.
Ketua Penerangannya, Zaidy Abdul Talib menegaskan pihaknya juga akan menggesa pihak berkuasa supaya menggunakan peruntukan kuasanya sama ada mengalih program maksiat itu ke tempat lain atau membatalkannya serta-merta.
"Pas Selangor juga meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab mencetuskan kontroversi dengan menaikkan papan iklan Octoberfest tanpa kebenaran di sekitar Saujana Hotel Subang, walau ianya diturunkan semula selepas tiga hari dinaikkan.
"Apa jua bentuk perlanggaran undang-undang berlaku, Pas Selangor tidak akan teragak-agak untuk membuat tindakan tegas selaras dengan mempertingkatkan nilai-nilai kehidupan harmoni yang diperjuangkan oleh seluruh lapisan masyarakat berbilang agama dan bangsa," katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas penganjuran pesta arak yang telah pun bermula sejak 24 September lalu dan ia berlanjutan pada 25 hingga 27 September dan bersambung semula pada 1, 2, 3, 4 dan 10 Oktober serta berakhir 12 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Zaidy yang juga Exco Pas Selangor menyifatkan agenda besar syarikat minuman keras itu sebagai tidak memahami sosio budaya dan sensitiviti agama di negara ini.
"Penganjur perlu sedar mengenai sensitiviti penganut beragama di negeri ini terutamanya penganut agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi Persekutuan sebelum mengadakan sesuatu yang boleh mengugat ketenteraman dan keamanan awam.
"Agama Islam tiada berhalangan untuk selain penganut Islam meminum minuman keras kerana ianya merupakan hak orang bukan Islam," tegasnya.
Tegasnya lagi, jika pesta arak itu diadakan secara besar-besaran dengan menguar-uarkannya secara terbuka di pasar raya dan papan tanda, ia bukan sahaja melanggar tatasusila kehidupan masyarakat bahkan melanggar kepercayaan agama di seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor