Pages

Friday, October 3, 2014

PADAH UBAH SUAI BANGUNAN


Pihak berkuasa memunggah mesin yang dirampas dalam satu operasi bersepadu di sebuah pasaraya, kelmarin.

Kota Tinggi - Sebanyak 25 unit mesin permainan di pusat hiburan keluarga di sebuah pasaraya di bandar ini, disita dalam satu operasi bersepadu Pejabat Daerah dan juga Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) berserta beberapa agensi terbabit, kelmarin.

Operasi melibatkan 35 anggota termasuk anggota PDRM dijalankan berikutan terdapat pengusaha yang masih menjalankan perniagaan meskipun lesen sudah dirampas dalam operasi sebelumnya.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd Noorazam Osman berkata, operasi itu dilakukan kerana pengusaha terbabit bertindak melanggar beberapa syarat lesen hiburan keluarga dibenarkan.

Menurutnya, pengusaha juga tidak mematuhi syarat dengan membuat ubah suai bangunan tanpa kebenaran PBT di kawasan parkir pasaraya berkenaan selain beroperasi melebihi masa ditetapkan.

“Kita juga akan membatalkan lesen dimiliki pengusaha terbabit. Malah pada 23 Julai lalu dalam operasi bersepadu berasingan, kita dapati pengusaha melakukan kesalahan dengan menjalankan operasi di alamat berbeza di mana sepatutnya di tingkat dua, namun mereka beroperasi di kawasan parkir.

“Ekoran itu kita juga mengambil tindakan awal dengan menahan lesen pengusaha tersebut.

“Bagaimanapun kita dapati pusat hiburan keluarga itu masih beroperasi lagi. Melalui operasi kelmarin kita mengambil keputusan untuk membatalkan terus lesen hiburan yang diberikan dan menyita mesin permainan yang terdapat di pusat hiburan itu,” katanya, semalam.

Mohd Noorazam berkata, jika sebelum ini lesen hiburan keluarga dalam daerah Kota Tinggi diberikan kepada dua pasaraya di bandar ini, namun kini kedua-dua lesen berkenaan ditamatkan dan dibatalkan.

“Daripada sembilan lesen hiburan keluarga yang dikeluarkan sebelum ini, kini tinggal dua dan sekarang sudah kosong selepas pembatalan lesen selepas operasi dijalankan kelmarin.

“Manakala satu lagi lesen di sebuah pasaraya lain yang tamat pada September lalu juga kita tidak akan sambung lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor