Pasir Mas - “Saya akan melurut pisau yang digunakan untuk menyembelih lembu dengan jari manis setiap kali proses berkenaan selesai.
Itulah petua yang digunakan seorang tukang penyembelihan Hussin Ismail, 59, dari Kampung Nering Tujuh, Kubang Chenok, Chetok di sini untuk mendapatkan rasa manis pada daging lembu yang disembelihnya.
Hussin berkata, petua itu menjadi amalannya sehingga kini sejak dia melakukan kerja-kerja penyembelihan lembu kira-kira 30 tahun lalu.
“Alhamdulillah melalui petua ini, daging lembu yang saya sembelih mempunyai rasa manis dan menjadi lebih sedap ketika di masak.
“Petua ini dipelajarinya dengan orang yang lebih tua dan mempunyai pengalaman berkaitan dengan penyembelihan lembu ketika saya mula berkecimpung dalam bidang berkenaan,” katanya.
Hussin yang terkenal dengan gelaran Datuk di kampung itu turut berkongsi petua untuk mendapatkan daging yang lembut.
Katanya, cara untuk mendapatkan daging yang lembut, tukang penyembelihan tidak boleh menahan nafas ketika proses berkenaan dijalankan.
“Tukang penyembelih perlu melakukan tugasnya itu dalam keadaan selesa barulah daging yang disembelih akan menjadi lembut.
“Selain itu, pisau yang digunakan perlulah tajam bagi memudahkan tugas berkenaan berjalan dengan sempurna dan tidak menyeksa haiwan berkenaan,” katanya.
Menceritakan pengalamannya sebagai tukang penyembelih pada Hari Raya Aidiladha, Datuk berkata, kejadian lembu terlepas sering berlaku dan tidak dapat dielakkan.
Katanya, selain itu dia juga perlu berdepan dengan situasi di mana lembu yang ingin dikorbankan mengamuk dan ini memerlukan kesabaran serta kepandaian untuk mengawalnya.
Pengalaman yang dimiliki Datuk itu menjadikan dia antara pilihan utama penduduk untuk melakukan proses penyembelihan setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha tiba.
Disebabkan terlalu banyak jemputan Datuk terpaksa menolak pelawaan tersebut kerana kesuntukan masa.
Datuk kini merupakan seorang penjual daging yang cukup popular di kampung berkenaan dan gerainya sering menjadi tumpuan setiap kali hujung minggu dan musim perayaan.
Sehingga kini dia sudah menyembelih lebih 3,000 ekor lembu sepanjang berkecimpung dalam bidang tersebut.
Datuk kini mampu tersenyum riang apabila bakatnya itu kini diwarisi anak keempatnya yang berminat dalam bidang itu.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor