Pages

Monday, October 6, 2014

BAJET 2015 - GEN Y MAHU PERUNTUKAN YANG LEBIH ADIL DAN MENYELURUH


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan antara bantuan untuk golongan belia. -Gambar fail



KUALA LUMPUR: Golongan belia mahukan pihak kerajaan untuk membuat penyelidikan menyeluruh agar peruntukan belanjawan yang diagihkan mengikut purata pendapatan isi rumah. 

Menerusi satu sesi Google Hangout bersama AstroAwani.com, mereka mahukan agihan peruntukan lebih adil agar ia memanfaatkan golongan yang benar-benar memerlukannya.

Sebelum ini, antara peruntukan yang diberikan kepada golongan pelajar atau belia pada Bajet 2013 adalah baucar buku bernilai RM250, rebat telefon pintar RM200, diskaun PTPTN bagi mereka yang membuat pembayaran yang konsisten dan juga RM200 juta untuk membantu graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

Antara peruntukan Bajet 2014 pula adalah baucar buku bernilai RM250 dan bantuan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah.

Seorang pelajar Taylor’s University dalam bidang komunikasi dan media, Malik Ridhwan, 22, berharap pihak kerajaan boleh mengagihkan peruntukan kepada golongan belia, khususnya para pelajar, berdasarkan pendapatan keluarga.

“Bila kerajaan memberi bantuan kepada golongan tertentu, ia dapat memanfaatkan mereka. Daripada fokus kepada skop yang besar dan kepada semua orang, lebih baik ia diberikan kepada golongan khusus. Ada yang berkemampuan dan ada juga yang lebih memerlukan,” kata beliau.

Tambah Rafiuddin, “Ada pelajar yang mampu membeli buku tanpa bantuan. Ada juga yang mampu belajar tanpa pinjaman PTPTN tetapi mereka turut mendapat faedah dari bantuan itu. Adakah mereka berhak untuk menerimanya?”


                            Golongan belia mahu agihan belanjawan yang adil. -Gambar fail


Bagi golongan usahawan muda pula, Baitulhusna mengharapkan proses pinjaman boleh lebih telus. Ini kerana golongan ini sememangnya memerlukan bantuan bukan sahaja untuk memajukan bisnes mereka, tetapi untuk menanggung sara hidup.

“Ada pihak yang akan membantu seperti MARA tetapi apabila kita memohon pinjaman RM20,000 dia akan kasi RM10,000 sahaja. Kalau saya boleh dapat RM10,000 buat apa saya nak mohon RM20,000.

“Saya juga pernah memohon kepada sebuah bank yang memaklumkan pinjaman maksima yang saya boleh dapat berjumlah RM50,000 tetapi selepas satu bulan, saya diberitahu saya hanya boleh dapat RM3,000. Apa yang saya boleh dapat dengan RM3,000?” tanya beliau.

Mereka turut berkata peruntukan belanjawan negara bagi golongan belia sebelum ini masih belum mencukupi dan hanya menyentuh permukaan sahaja.

“Untuk satu tahap, ia mesra belia. Namun ia cuma atas permukaan, atausurface. Kita nampak ada diskaun untuk buku dan sebagainya. Namun bila mereka sudah tamat belajar, agak mahal untuk mereka membeli rumah. Ia mesra belia tapi belum mencukupi. Ada lagi lautan yang lebih besar,” kata Imran Sheik Muhamed yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di UiTM dan juga pengarang blog teknologi tempatan Pronomy.

Tambah Muhammad Rafiuddin Omar Zulhadhli Mohammed Rosland, 23, dari Taylor’s Business School, “Ada usaha pihak kerajaan untuk menarik hati golongan belia dengan baucar, BR1M, diskaun PTPTN dan sebagainya. Adakah iayouth-friendly? Ya! Adakah ia perlu? Mungkin tidak,” kata beliau.

Dari aspek usahawan muda pula, Baitulhusna Ahmad Zamri, 26, berkata masih ramai anak-anak muda yang tidak tahu tentang peruntukan bagi usahawan.

“Nak kata membantu, tidak sangat. Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MAGIC) dapat membantu usahawan muda tetapi pada tahap permukaan sahaja. Acara MAGIC baru-baru ini berjaya mengumpulkan golongan belia namun bukan semua belia tahu tentang MAGIC. Yang tahu hanyalah komunitistart-up,” kata usahawan berusia 26 tahun itu.

Sesi Google Hangout ini turut menyentuh tentang sejauh manakah tahap pengetahuan golongan Gen Y tentang pembentangan bajet.

Imran berkata kalau ia berkaitan dengan belia seperti baucar buku atau telefon pintar, mereka akan tahu. Namun tidak semua belia tahu tentang wujudnya beberapa peruntukan lain untuk mereka.


                   Baucar telefon pintar RM200 popular di kalangan golongan belia. -Gambar fail



“Ramai remaja tahu tentang iklan pilihan raya di media sosial seperti di YouTube dan Facebook. Tetapi tidak banyak iklan bajet.

Remaja memang ketagih dengan media sosial jadi dengan memuatnaik iklan yang menarik dan menggunakan teknik yang betul dapat menyebarkan maklumat bajet dengan lebih berkesan,” kata beliau.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor