Pages

Sunday, September 7, 2014

PERPADUAN PRASYARAT UMNO TAWAN SELANGOR




KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Perpaduan merupakan prasyarat utama untuk Umno, khususnya di Selangor untuk menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata prasyarat lain adalah memiliki barisan kepimpinan yang diyakini dan dipercayai boleh membawa anggotanya dalam satu saf supaya tidak berbalah, dan bersedia menghadapi apa juga cabaran.

"Peranan dan tanggungjawab kita khususnya Umno di Selangor lebih sukar dan mencabar. Tetapi kalau sasaran kita nak tebus maruah dan kekalahan, ini bukan kerja mudah tapi bukan mustahil.

"Boleh kita laksanakan dengan syarat kukuh perpaduan, berani berhadapan dengan mereka. Bincang dengan rakyat jelata. Berinteraksi dengan mereka selalu dan apa-apa isu yang perlu dihadapi, kita hadapi secara bersemuka," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Subang di Kelab Golf Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, dekat sini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Umno Bahagian Subang Datuk Zein Isma Ismail.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno sekali lagi mengulangi bahawa fikiran politik rakyat kini lebih matang.

Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa perubahan dalam kalangan rakyat itu merupakan hasil daripada proses transformasi dan usaha yang dilakukan kerajaan sejak merdeka.

"Rakyat berubah kerana usaha kita juga. Sebagai kerajaan kita nak lihat masyarakat Malaysia berpengetahuan, terdidik dengan ilmu, tahu hak sebagai rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan, dan peruntukan-peruntukan yang tersedia untuk mereka," jelasnya.

Justeru, dalam mendepani perubahan itu, Muhyiddin menegaskan Umno harus meletakkan parti pada posisi yang membezakannya daripada parti-parti politik yang lain untuk menawan hati rakyat.

Muhyiddin dalam pada itu bertanya mereka yang hadir akan kesiapsiagaan jentera Umno di Selangor sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri dan pilihan raya negeri diadakan susulan krisis politik yang berlaku pada masa ini.

"Kalau esok bubar DUN, boleh menang ke?" katanya disahut dengan laungan "ya" oleh para perwakilan yang hadir.

"Ini soal maruah kita. Kita rasa penderitaan dan kesusahan. Dalam tempoh kurang daripada empat tahun akan datang, bagaimana kesiapsiagaan kita untuk menghadapi perubahan dan zaman sukar yang kita hadapi sekarang. Kita tak boleh main-main banyak sangat," tegas Muhyiddin.

Beliau juga berkata selain berusaha menyelesaikan masalah rakyat dan isu-isu politik, anggota Umno juga perlu mengingatkan akar umbi akan sumbangan kerajaan dalam menghasilkan perubahan-perubahan positif negara termasuk pertumbuhan ekonomi.

Katanya, perkara sedemikian perlu diketengahkan untuk membolehkan rakyat menilai prestasi kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tidak hanya 'disuap' dengan isu-isu lain yang tidak memberi faedah kepada mereka.



No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor