Shah Alam - Calon Pas mempunyai peluang cerah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar baharu selepas Istana Selangor menganggap tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan satu calon sebagai biadab kepada titah Sultan Selangor.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain membidas tindakan PKR membelakangkan keputusan Pas dan mendakwa ia punca pergolakan dalaman PR.
"Dengan tindakan PKR dan DAP yang hanya menghantar calon tunggal, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyebabkan Sultan Selangor murka, lagi senanglah kerusi menteri besar jatuh ke tangan Pas.
"Tindakan mereka ini melampau kerana tidak mengikut titah dan derhaka terhadap sultan," katanya, semalam.
Menurut Ahmad Atory, tindakan Pas yang mendahului PKR dalam membuat keputusan menghantar calon sendiri yang dikritik hebat pimpinan PKR mencerminkan pergolakan dalaman antara mereka semakin teruk.
"Pas selama ini menyokong saja tindakan PKR dan DAP, tetapi dalam isu Menteri Besar Selangor, apa salahnya mereka sendiri ada pendirian? Mengapa PKR dan DAP tidak mahu sokong Pas dalam isu ini sebagaimana Pas yang tidak pernah kurang menyokong rakan mereka.
"Pas pun lebih layak terajui Selangor kerana mempunyai lebih kerusi dalam Dun, jadi PKR tidak sepatutnya mempertikaikan tindakan Pas. Silap-silap nanti, percaturan mereka letakkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar terkubur begitu saja," tegasnya.
Tambah beliau, tindakan sultan yang meminta setiap parti dalam PR menghantar lebih dari dua nama bukanlah dilihat sebagai menolak Dr Wan Azizah.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor