Pages

Saturday, August 2, 2014

TEMERLOH - IKONIK PANDA ANAK TEMERLOH


Abd Muhaimin bersama lima kayu ikonik panda gergasi yang berdiri megah di Zoo Negara hasil kerja tangannya.
Abd Muhaimin bersama lima kayu ikonik panda gergasi yang berdiri megah di Zoo Negara hasil kerja tangannya.

Temerloh – Kejayaan pengusaha produk kraftangan Inakraf menghasilkan ‘Iconic Panda Monument’ bukan sahaja berjaya mengharumkan nama daerah Temerloh dan Pahang bahkan turut melonjakkan industri kraftangan sekali gus dapat membantu pengusaha lain di negara ini untuk turut berjaya.

Kejayaan mendapatkan tender dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menyiapkan lima ikonik panda yang ditempatkan di Kompleks Giant Panda Zoo Negara dianggap projek mega tahun ini dan antara produk paling bernilai sepanjang hampir 25 tahun pemilik jenama Inakraf dalam bidang kraftangan.

Guna cengal berkualiti tinggi

Pengarah dan Pengurus Pentadbiran Inakraf, Zarina Awang Samah dan suami Abd Muhaimin Hasbollah berkata, kejayaan mendapatkan tender itu dianggap satu tanggungjawab besar untuk menghasilkan projek untuk negara.

Abd Muhaimin berkata, ikonik panda tersebut dihasilkan sebagai simbol ulang tahun ke 40 hubungan diplomatik Malaysia-China yang dirai pada tahun ini susulan perjanjian kerjasama yang ditandatangani pada 15 Jun 2012.

“Kami mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan lima kayu ikonik yang setiap satunya mempunyai motif panda dan teras tertentu seperti yang dimahukan kementerian.

“Projek kami bermula dengan mendapatkan cengal berkualiti tinggi dari Terengganu yang berusia lebih 100 tahun supaya hasil dan nilainya lebih tinggi,” katanya di bengkel Inakraf dekat Kampung Bangau Tanjung di sini.

Abd Muhaimin berkata, dia dibantu 12 pekerja perlu menyiapkan tempahan ikonik panda gergasi itu untuk diserahkan kepada kerajaan dalam masa ditetapkan.

Ikonik paling tinggi

Menurutnya, setiap satu kayu ikonik panda gergasi itu berukuran 10 inci tebal, 30 inci lebar dan setinggi kira-kira lapan meter, ia menjadi ikonik paling tinggi dan mungkin dicatatkan dalam Malaysia Guinness Book of Record.

“Antara cabaran yang dihadapi sepanjang menyiapkan ikonik ini adalah tanggungjawab untuk menghasilkan projek negara serta mengukir pada kayu cengal yang berusia lebih 100 tahun dengan berat lebih dua tan setiap satu.

“Setiap kayu ikonik ini mempunyai teras education, research, recreation, conservation dan training seperti yang dikehendaki kementerian,” katanya.

Bermula dengan modal RM10

Abd Muhaimin berkata, Inakraf lahir dengan modal hanya RM10 untuk membeli kayu sekitar awal 90-an.

Menurutnya, kayu itu selepas siap diukir dijual pula pada harga RM100 dan kemudian dibeli lagi kayu baru dan dijual lagi hingga mampu meraih keuntungan RM1,000 dalam tempoh singkat.

Semakin dikenali di mata dunia

Menurutnya, jenama Inakraf kini semakin dikenali di mata dunia sekali gus berjaya melonjakkan nama negara dan daerah Temerloh tempat lahirnya Inakraf.

Abd Muhaimin berkata, sebelum ini Inakraf telah menghasilkan arca di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang selain ikonik di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Selain itu katanya, hasil kerja tangan Inakraf juga boleh dilihat seperti di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, balai rong seri Istana Shah Alam, Selangor, panel ukiran di pintu bilik mesyuarat Perdana Menteri di Putrajaya dan banyak lagi.

“Kejayaan ini sekali gus dapat mengukir nama anak Temerloh dalam bidang kraftangan di peringkat antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor