Pages

Wednesday, August 13, 2014

KUANTAN - TIGA RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN


Kuantan - Tiga rumah kayu di Kampung Pandan 2 dekat Batu 8 Jalan Bypass di sini musnah dalam kebakaran semalam menyebabkan 20 individu tinggal sehelai sepinggang. 

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang Anuar Hassan berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagaimanapun seorang wanita, 40-an, didapati sesak nafas namun dilaporkan stabil setelah menerima rawatan awal oleh pegawai perubatan di situ.

"Pihak Bomba menerima aduan mengenai kejadian itu pada 10.30 pagi dan menghantar 20 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba Kuantan, Indera Mahkota dan Taman Tas. 

"Kebakaran dapat dikawal dalam masa 15 minit selain turut berjaya menyelamatkan 15 rumah lain yang berada di kawasan berdekatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Katanya, operasi ditamatkan 12.47 tengah hari namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa, Khatijah Yusof, 21, berkata semua harta benda miliknya termasuk kelengkapan menyambut bayi yang bakal dilahirkannya September ini musnah sama sekali.

"Semasa kejadian saya dan anak pertama, Mohd Adam Mohd Baharuddin, 3, serta anak saudara, Nor Amira Kamarulzaman, 17, berada di rumah manakala suami, Mohd Baharuddin Jusoh, 27, keluar bekerja.

"Saya sedang mencuci pinggan di dapur terkejut apabila terdengar jeritan jiran yang beritahu ada api lalu bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum melihat api sudah merebak ke bahagian bumbung rumah," katanya.

Seorang lagi mangsa, Norliana Che Mustafa, 25, berkata kebakaran dipercayai bermula dari rumah jirannya, Nik Khatijah selepas melihat asap dari rumah berkenaan sebelum menjerit meminta tolong.

"Saya sangkakan ada orang membakar sampah namun terkejut apabila mendapati sebuah motosikal buruk yang tersadai dekat rumah jiran terbakar sebelum api merebak membakar dinding dan bumbung bahagian bilik rumah berkenaan.

"Kami cuba memadamkan kebakaran itu namun gagal sebelum api merebak ke rumah saya dan sebuah lagi rumah jiran malah kejadian berlaku begitu pantas iaitu kira-kira 15 minit sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor