Pages

Sunday, August 17, 2014

KUANTAN - TIADA AMBANG MERDEKA HORMATI MANGSA MH17


Muhammad Saffian

Kuantan - Kerajaan negeri memutuskan tidak ada sambutan Ambang Merdeka atau sebarang acara ganti sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada 30 Ogos ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati mangsa MH17 yang terkorban dipercayai ditembak di sempadan Ukraine 17 Julai lalu.

“Negeri memutuskan tidak ada acara Ambang Merdeka dan acara ganti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaacob bagaimanapun berkata, MPK tetap menggalakkan orang ramai terutama peniaga di premis perniagaan menggantung bendera sebagai memeriahkan sambutan kemerdekaan.

Menurutnya, sehubungan itu pertunjukan bunga api dan acara sambutan lain seperti kebiasaan dilakukan tidak akan dilaksanakan tahun ini.

“Tiada sambutan kemerdekaan tahun ini tetapi kita menggalakkan orang ramai mengibarkan bendera di premis dan kediaman,” katanya.

Beliau berkata, sebagai memeriahkan acara tahunan itu, MPK akan mengadakan satu sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada pemilik premis di sekitar Kuantan Isnin ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shaberi Cheek berkata, sambutan sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini diolah mengikut kesesuaian susulan tragedi MH17 dan MH370 termasuk membatalkan acara tradisi seperti Ambang Merdeka selain acara hiburan dan pertunjukan bunga api.

Pelancaran sambutan Bulan Kemerdekaan dan kibar Jalur Gemilang akan diadakan di Putrajaya esok yang dihadiri warga Putrajaya termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri program itu.

Konsert Chow Kit Road 2.0 akan diadakan mulai 29 hingga 31 Ogos di Jalan Tunku Abdul Rahman dengan lagu-lagu patriotisme bagi menyemarakkan semangat patriotik dan cinta kepada negara.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor