Nilai – Tidak dapat digambarkan kegembiraan bagi pasangan suami isteri di Kampung Batang Benar di sini, apabila dikurniakan cahaya mata.
Namun, lebih menggembirakan bagi pasangan Abdul Halim Abdul Rahman, 41, dan Zunaidah Hussin, 38, adalah anak dilahirkan pada 11 Jun lalu adalah kembar tiga.
Kembar yang dinamakan Nur Azwa Syuhada, Nur Azma Syuhada dan Nur Azni Syuhada dilahirkan secara pembedahan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.
Bagaimanapun, pasangan itu mengakui ia bukan satu perkara mudah dalam menyediakan keperluan bagi membesarkan anak kembar, apatah lagi salah seorang daripadanya disahkan cacat
Menurut Abdul Halim, Nur Azwa Syuhada cacat pada kedua-dua kakinya dipercayai akibat tersepit antara dua kembarnya itu ketika di dalam kandungan.
“Kedua-dua kaki Nur Azwa Syuhada kini disimen bagi merawat kakinya supaya terbentuk dan membolehkan dia berjalan semula apabila sudah besar nanti.
“Doktor beritahu, simen itu akan dibuka tidak lama lagi. Jika perlu, perlu doktor akan buat kasut khas dan kosnya lebih RM600. Tapi, ia perlu ditukar setiap tiga bulan dengan kos RM300,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Namun begitu, apa yang merisaukan Abdul Halim adalah kos yang perlu ditanggung kelak dengan keadaan pendapatannya hanya RM1,200 sebulan serta perlu menanggung isteri dan enam anak yang masih kecil.
Menurutnya, berikutan itu, dia bercadang memohon bantuan Baitulmal bagi menambung kos rawatan untuk anaknya itu.
“Doktor yang menyarankan saya membuat permohonan bantuan. Saya cuma mahu melihat anak saya boleh berjalan sama seperti adik beradiknya yang lain,” katanya yang bekerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang.
Selain kembar berkenaan, pasangan itu turut dikurniakan tiga cahayamata, Nur Alia Iryani, 9, Mohd Ameer Aizad, 8, dan Nur Azzah Izzaty, 4.
Selain itu, Zunaidah berkata, dia tidak pernah terlintas mahu memiliki anak kembar tiga kerana pada awalnya doktor hanya menjangkakan dia akan melahirkan sepasang kembar.
“Tapi selepas imbasan ketika usia kandungan mencecah lima bulan, doktor mula mengesahkan saya mengandungkan anak kembar tiga," katanya.
Menurutnya, dia terpaksa memakaikan tali putih pada tangan kiri anaknya sebagai pengenalan iaitu satu tali untuk Nur Azwa Syuhada dan dua tali di tangan Nur Azma Syuhada sebagai tanda pengenalan berikutan wajah kesemuanya seiras dan sukar dicam.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor