Kuala Lumpur - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah wang syarikat membabitkan wang berjumlah lebih RM71,000 tahun lepas.
Siti Hanim Taib, 28, yang sedang hamil tujuh bulan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsharidah Awang.
Dia yang ketika itu sebagai pegawai pentadbiran syarikat didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM71,618.25 di Syarikat Avantegarde Automotive Sdn Bhd, No.6, Jalan 2/118B, Desa Tun Razak, Cheras di sini antara 21 Ogos 2013 hingga 5 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Svetlana Mohd Noor Nordin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu adalah serius namun peguam Mohd Shamril Afzan Mohamad Hasim memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya sedang mengandung tujuh bulan.
Hakim Norsharidah membenarkan Siti Hanim diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos untuk sebutan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor