Pages

Sunday, July 13, 2014

UMNO LANCAR BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA

Baling - Biro Kebajikan Umno Malaysia akan menggerakkan bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam masa terdekat bagi membantu rakyat Palestin yang sedang dizalimi tentera Israel.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, pihaknya dengan kerjasama Kelab Putera 1Malaysia, Aman Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum di negara ini akan ke Palestin setelah kebenaran masuk diperoleh.

"Konvoi bantuan kemanusiaan kali ini akan membeli bahan makanan dari negara Mesir untuk dibawa masuk melalui Rafah ke Gaza bagi meringankan kos pengangkutan berbanding jika dibawa terus dari Malaysia.

"Kami merayu kepada rakyat Malaysia supaya tampil menyumbang wang, pakaian, perubatan, kepakaran dan apa saja yang difikirkan diperlukan oleh rakyat Palestin yang menderita akibat kekejamaan Yahudi," katanya kepada pemberita selepas penyerahan bantuan zakat Tabung Haji kepada 400 penerima dalam Parlimen Baling di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, pihaknya turut mempelawa semua NGO tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama menyertai konvoi berkenaan sebagai sukarelawan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat negara itu.

Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling turut merayu doktor-doktor pakar kanak-kanak, pembedahan, pakar tulang, sakit puan dan trauma menyertai konvoi itu secara sukarela.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi talian 03-22736004 untuk keterangan lanjut mengenai misi berkenaan.

Sementara itu, beliau meminta rakyat di negara ini menjadi masyarakat yang sentiasa bersyukur kerana terdapat pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan bagi meringankan beban mereka.

"Sumbangan zakat sebanyak RM500 setiap seorang kepada yang terpilih adalah bagi meringankan beban mereka yang tidak mampu bekerja akibat mengalami berbagai masalah kesihatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor