Pages

Monday, July 21, 2014

TRAGEDI MH17: RUSIA 'BUAT BODOH'


Putin dan Obama saling tuding jari sejak kelmarin. - Foto EPA

Ketika negara dunia heboh dengan nahas MH17 di Ukraine, Rusia hanya berdiam diri dan kurang mengeluarkan kenyataan.

Menerusi media, seluruh negara antarabangsa dilihat bersimpati dengan nasib Malaysia termasuk Amerika Syarikat yang menawarkan diri untuk membantu siasatan.

Namun, kekecohan tragedi itu tidak sedikit pun mengganggu Rusia yang merupakan suspek utama dalam punca nahas yang dipercayai dilakukan kumpulan pro-Russia seperti digembar-gemburkan media.

Presiden Rusia, Vladimir Putin seolah-olah melihat kejadian itu sebagai perkara kecil apatah lagi yang menjadi mangsa adalah pesawat milik negara kecil bernama Malaysia.

Kenyataan itu boleh disokong apabila Presiden itu semalam lebih menumpukan perhatiannya kepada konflik di Gaza. 

Kelmarin, beliau bersetuju dengan Presiden Iran, Hassan Rohani untuk berbincang cara mengakhiri konflik di Gaza yang sebelum ini beliau sekadar menjadi pemerhati.

Tuntutan itu dilakukan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan akan melakukan serangan darat dan mengaku tugasan itu tidak boleh dilakukan berseorangan terutamanya untuk berhadapan dengan Hamas. 

Putin dalam dilema

Kini, Putin dalam dilema sama ada meneruskan sokongan terhadap kumpulan pemberontak pro-Rusia atau berhadapan kemarahan negara antarabangsa dan sekatan ekonomi.

Dua minggu sebelum nasib malang menimpa MH17, Putin bertindak memindahkan semula tenteranya termasuk kereta kebal dan peluru berpandu dari sempadan negara itu.

Beliau juga menjauhkan diri dari kumpulan itu sejak Ukraine memilih Presiden baharu, Petro Poroshenko.

Tindak itu jelas menjadi perhatian dunia termasuk menerima padah sekatan ekonomi di timur Eropah.

Bagaimanapun, Ukraine menganggap tindak tanduk Putin sebagai menyerah kalah dan berusaha membersihkan aktiviti kumpulan pemberontak pro-Russia di Ukraine.

Namun, Putin licik, melalui Duta Rusia ke PBB, Vitaly Churkin beliau mempersoalkan tindakan pengawal trafik udara Ukraine membenarkan MH17 untuk terbang di ruang udara timur Ukraine.

Bekas Duta AS ke Moscow Stephen Sestanovich berkata, tingkah laku Putin sukar diramal.

“Ini masalah dengan Putin. Pemikirannya sukar dibaca. Ada kalanya, beliau berhemah tetapi ada masanya beliau bertindak melulu.

“Putin tidak boleh mengarahkan Ukraine bertanggungjawab dalam serangan MH17 kerana beliau yang membekalkan senjata kepada pemberontak pro-Russia secara berterusan,” katanya.

'Wake-up call'

Kejadian menimpa Malaysia kini mendapat perhatian Presiden Barack Obama.

Semalam, beliau dengan lantang menyifatkan nasib yang menimpa Malaysia ini adalah satu wake up call untuk negara dunia.

Presiden itu mendakwa, insiden MH17 berlaku kurang 24 jam selepas AS mengumumkan gelombang ketiga sekatan ekonomi ke atas Rusia, dan AS menjadi pembekal senjata berat untuk Ukraine. Semua aset berkenaan dijangka tiba tidak lama lagi.

“Belanda adalah sekutu kuat kami di Eropah dan dalam pesawat berkenaan terdapat lebih 150 rakyat negara itu. Selain itu, kesemua penumpang di dalam pesawat malang tersebut adalah dari negara sekutu kami,” katanya. 

Obama turut mengingatkan negara sekutunya di seluruh dunia bahawa tindakan Russia ini amat keterlaluan dan melampau.

“Kita perlu bertindak segera terhadap propaganda Russia,” katanya.

Jurucakap Rumah Putih Jen Psaki bagaimanapun belum mendapat sebarang arahan untuk meningkatkan sekatan ekonomi terhadap Russia

“Belum ada kata putus dari Presiden tetapi sekatan itu perlu dilakukan segera mulai bulan ini. Ia penting untuk memberi tekanan kepada Rusia," katanya.

Hubungan dengan Belanda, Australia

Faktor lain menunjukkan Putin tidak mengendahkan insiden ini adalah dari aspek jumlah penumpang.

Paling ramai jumlah penumpang maut adalah dari Belanda dengan 193 dan Australia 27 penumpang.

Seperti diketahui, hubungan Rusia dan Belanda renggang sejak tahun lalu selepas pihak berkuasa Moscow menahan Kaunselor Russia, Dmitri Borodin angkara penderaan kanak-kanak dirumahnya di Holland.

Seminggu kemudian, kediaman diplomat Russia di Moscow dipecah masuk dan dua individu bertindak memukul diplomat berkenaan.

Perdana Menteri Belanda semalam, Mark Rutte mengambil langkah tunggu dan lihat.

“Saya hanya menanti keputusan siasatan dan masih terlalu awal untuk menuduh mana-mana pihak menembak pesawat itu,” katanya.

Insiden ini sedikit sebanyak terpalit hubungan antara Rusia dengan Australia.

Susulan insiden itu, Perdana Menteri, Tonny Abbott memberi amaran kepada Rusia supaya tidak ‘mencuci tangan’ atau berdiam diri.

“Rusia harus bertanggungjawab dan bekerjasama dalam siasatan. Kami akan mencari siapakah dalang di sebalik kejadian ini,” katanya.

Apa juga yang berlaku, Malaysia adalah mangsa keadaan. Adakah disebabkan Malaysia mempunyai hubungan akrab dengan AS hingga menyebabkan Malaysia menjadi kambing hitam?

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor