Pages

Thursday, July 31, 2014

TIDAK PERLU TUKAR MENTERI BESAR


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Shah Alam – Kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih dipandang tinggi oleh rakyat Selangor.

Rata-rata penduduk melahirkan rasa hairan yang bukan sedikit berhubung dengan isu penukaran menteri besar yang dimainkan oleh PKR.

Malah hasil tinjauan Sinar Harian Online mendapati ramai yang merasakan Abdul Khalid perlu kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Universiti Monash, Prame Kumar Nair berpendapat Abdul Khalid ialah seorang pemimpin yang baik namun beliau harus pandai mengimbangi kariernya sebagai ahli politik.

“Khalid telah menunjukkan hasil kerja yang baik dari segi pengurusan, dia bantu jimatkan duit rakyat namun dia lemah dari segi politik.

“Semua ini harus diputuskan segera, kita semua harus bekerjasama demi negara ini. Pemimpin harus sedar bahawa rakyat sedang menderita dengan semua ini,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Bagi seorang Penyelia Pengangkutan, Nazaruddin Ramli, Khalid telah membawa banyak pembaharuan dan pembaikan kepada pentadbiran negeri dan juga rakyat dan beliau tidak patut disingkirkan dari jawatannya.

“Pada pendapat saya, apa yang beliau buat sudah memadai. Jawatan tersebut tidak perlu ditukar. Dia sepatutnya diberikan peluang untuk berkhidmat kerana ini hanya penggal pertama bagi beliau.

“Jika tukar MB sekarang, mungkin banyak isu lain timbul, jika ada masalah dalaman, sepatutnya Pakatan Rakyat perlu selesaikan masalah tersebut dengan cara lain. Rakyat yang undi pemimpin, rakyat undi dia (Khalid) jadi dia perlu dikekalkan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Pakatan Rakyat harus mempertimbangkan semula kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar di Selangor bagi mengekalkan pengaruh dan kesetiaan rakyat terhadap parti tersebut.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor