Penduduk Palestin reda nyawa melayang di tangan Zionis
"Dalam suasana perang ketika ini, kami hanya bersiap meraikan Aidilfitri di akhirat kerana kematian boleh menjemput pada bila-bila masa. Mana mungkin saya sekeluarga bergembira ketika sanak-saudara dan jiran tetangga kehilangan ahli keluarga akibat keganasan Israel,” kata bekas buruh binaan dari Al Zawaida, bahagian tengah Gaza, Hamza Hassan El Deirawi.
Ketika dihubungi dari Kaherah, Hamza Hassan, 74, berkata perang yang meletus membuatkan kebanyakan penduduk Gaza hanya mampu berkurung dalam rumah sambil berdoa agar tersisih daripada bahaya.
Walaupun berlindung dalam rumah, hakikatnya mereka tidak pasti sama ada kediaman itu selamat bertahan hingga keesokan hari kerana terdedah kepada sasaran bedilan bom Israel pada bila-bila masa.
Situasi itu disaksikan anaknya, Hamza Deirawi, yang juga petugas Unit Media Aman Palestin Malaysia di Gaza, apabila lima rumah berdekatan kediaman neneknya yang diziarahi selepas solat Jumaat kelmarin, ranap dibedil pesawat F16 milik Israel.
Bedilan terhadap kediaman penduduk termasuk kawasan kem pelarian, menyebabkan penduduk Gaza menjadi pelarian dalam wilayah sendiri.
Namun, ketika ini tiada tempat mampu dianggap selamat kerana masjid, hospital awam dan sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak terlepas daripada sasaran bedilan bom Israel.
Alasan Israel, lokasi terbabit menjadi tempat persembunyian roket Hamas. Namun, selepas hampir 900 menjadi korban dan lebih 5,000 cedera, dakwaan itu hanya tinggal dakwaan apabila tiada bukti ditemui.
Rintihan Hamza Hassan itu turut dikongsi Pegawai Hal Ehwal Luar Universiti Islam Gaza, Dr Wesam Ahmad, yang menetap di Beit Lahia, utara Gaza.
Rumah ranap
“Kediaman saya masih selamat, namun rumah dua jiran ranap akibat bedilan Israel yang mengganas dalam perang ini.
“Menjelang Aidilfitri ini, kami hanya menyediakan keperluan asas, mana mungkin bergembira ketika tetangga bersedih akibat kehilangan rumah dan ahli keluarga,” katanya yang pernah tinggal di Malaysia ketika belajar.
Mengimbas kenangan, Wesam mengakui, ketika aman, suasana kemeriahan Aidilfitri di Gaza, sama seperti di Malaysia, apabila setiap keluarga sibuk menyediakan juadah istimewa bagi meraikan tetamu dan sanak-saudara yang bertandang.
Namun, dalam situasi perang ketika ini, setiap ketua keluarga yang mempunyai pekerjaan berusaha berjimat-cermat.
“Kesan amat dirasai keluarga miskin yang tidak mampu keluar bekerja atau ke kawasan pertanian. Mereka terpaksa bergantung bantuan kemanusiaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Namun, halangan yang berterusan kepada kemasukan misi kemanusiaan NGO antarabangsa memberi kesan mendalam kepada keluarga terbabit bagi menyediakan keperluan makanan harian,” katanya.
Sejak perang tercetus 8 Julai lalu, Mesir hanya membuka pintu sempadan Rafah selama lima jam kepada kemasukan 500 tan bekalan makanan dan ubatan pada 10 Julai lalu. Sejak itu hingga kini, semua misi perubatan dan kemanusiaan ke Gaza terkandas di Kaherah kerana keengganan tentera Mesir membenarkan mereka melalui pintu Rafah, walaupun masing-masing menandatangani surat melepaskan tanggungjawab.
Suara supaya semua kepungan terhadap Gaza dihentikan serta-merta bukan saja setakat kedengaran dari Gaza, malah sudah mendapat sokongan Presiden Mahmoud Abbas, selain tentangan penduduk Palestin kini merebak di Tebing Barat sehingga mencetuskan tanggapan kemungkinan berlaku intifada ketiga.
Hakikatnya, senarai syarat yang ditetapkan Hamas bagi gencata senjata adalah untuk membolehkan Gaza menjadi wilayah yang berdaulat selepas sekian lama ia dikepung Israel.
Selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza tidak berfungsi sejak 2001 akibat menara kawalannya dibom pesawat Israel, Semenanjung Gaza termasuk perairannya dikepung rejim Zionis dari semua sudut.
Meskipun pantainya menghadap Lautan Mediterranean, namun Pelabuhan Gaza tidak dibenarkan beroperasi, manakala nelayan Palestin pula dihalang keluar menangkap ikan melebihi lima kilometer. Bahagian sempadan antara Gaza dengan Israel dihadang pembinaan tembok konkrit.
Kawal ketat laluan sempadan
Mesir pula mengawal ketat pergerakan keluar masuk ke Gaza menerusi satu-satunya laluan bersempadan dengan negara itu di Rafah. Kepungan itu secara tidak langsung membuatkan Gaza yang mempunyai keluasan 365 kilometer persegi dengan 1.8 juta penduduk, umpama penjara terbesar di atas muka bumi ketika ini.
Duta Malaysia ke Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari, menyifatkan syarat Hamas sebelum bersedia menyertai gencatan senjata kali ini kelihatan sukar untuk dipenuhi Israel dan Mesir.
Katanya, ketika ini, kepemimpinan Turki dan Qatar memainkan peranan penting kerana hanya mereka yang boleh berbincang dengan kepemimpinan Hamas. Penolakan Hamas terhadap saranan supaya menyertai gencatan senjata sebelum tuntutan politik mereka dibincangkan, sememangnya mudah difahami kerana selama ini Israel tidak pernah menghormati persetujuan yang dicapai.
Perkembangan terbaharu inisiatif gencatan senjata yang diumumkan di Kaherah malam kelmarin, nyata masih kabur, walaupun Setiausaha Agung PBB, Ban Kim Moon dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, mengumumkan sudah ada rangka asas perbincangan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor