RAUB - Tanda harga khas berwarna merah jambu perlu diletakkan bagi membezakan antara barangan harga terkawal atau selainnya.
Arahan terbabit dikeluarkan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa yang dilancarkan bermula semalam sehingga 5 Ogos nanti.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang, Sharuddin Jali berkata, tempoh berkuat kuasa kali ini adalah selama 17 hari berbanding 15 hari pada sebelumnya.
“Pelaksanaan kali ini dimulakan dengan lebih awal sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri.
“Skim ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011 di mana setiap tahun ia akan dilaksanakan sebanyak enam kali terutama pada musim-musim perayaan,” katanya.
Sebanyak 17 barangan disenaraikan di bawah harga terkawal bagi skim terbabit termasuklah ayam hidup, ayam ‘standard’, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import, telur ayam, cili merah, tomato, kelapa biji dan parut, bawang merah kecil, bawang besar import, bawang putih, ubi kentang import dan ikan kembung serta ikan mabung.
Tambahnya lagi, penentuan harga maksimum telah dibuat di peringkat pengeluaran, borong dan runcit dalam rantaian pengedaran mengikut kewajaran dan kesesuaian.
“Selain diwajibkan meletak tanda harga khas berwarna merah jambu, peniaga juga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang telah ditentukan kerajaan.
“Bagaimanapun peniaga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh lebih rendah,” katanya.
Menurutnya lagi, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh penguat kuasa KPDNKK dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Malaysia (PPM), Skuad Rakan Muda Pengguna dan lain-lain lagi.
“Kita juga mengharapkan kerjasama masyarakat sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi arahan agar membuat aduan ke cawangan KPDNKK berhampiran atau menghubungi talian hotline kami iaitu 1-800-886-800,” katanya.
Sharuddin juga berkata, tindakan tegas seperti denda dan penjara akan diambil sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah skim terbabit.
Dalam pada itu, satu majlis pelancaran dan pemeriksaan hari pertama barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2014 telah diadakan disempurnakan oleh Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram bertempat di Pasaraya Tunas Manja, semalam.
Sharuddin berkata, setakat ini masih belum menerima sebarang aduan berkaitan kesalahan yang dilakukan. Katanya, kesemua peniaga telah diberikan kesedaran tentang skim terbabit dan mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor