Pages

Thursday, July 24, 2014

RAUB : KERJA TERJEJAS AKIBAT NAHAS


Norhalim (dua, kiri) menerima kunjungan Abdul Aziz (kiri), Khairul Amin (tiga, kiri), Sheikh Abd Rahim (tiga, kanan) dan ahli MBN.


RAUB - Niat murni seorang anak lelaki untuk membantu meringankan beban keluarga terganggu kerana kaki kirinya patah dan tidak dapat bergerak seperti biasa akibat kemalangan enam bulan lalu.

Norhalim Abdullah, 24, berkata, sejak terlibat kemalangan pada 14 Januari lalu di Benta, dia tidak dapat meneruskan pekerjaan buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih.

Ibunya, Nanjah Dadai, 49, berkata, keadaan anak lelakinya itu bertambah baik berbanding sebelumnya dan kehidupan mereka sekeluarga kini bergantung kepada hasil kebun getah milik mereka.

“Norhalim bekerja sendiri membuat rumah, namun selepas kejadian itu, dia terpaksa berehat sehingga keadaan benar-benar pulih.

“Sekarang ini semua perbelanjaan bergantung kepada hasil duit getah, malah perubatan anak saya juga ditanggung daripada duit menoreh ini,” katanya yang menetap di Kampung Ulu Atok, dekat sini.

Menurutnya, sebelum anaknya itu terlibat kemalangan, Norhalim tidak lupa untuk membantu meringankan beban keluarga, tambahan pula dia mempunyai seorang anak kurang upaya (OKU).

“Masa Norhalim boleh bekerja, dia sememangnya ada bantu keluarga dari segi kewangan memandangkan saya juga anak seorang anak yang mempunyai masalah lembam,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana anak OKU itu mendapat wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nanjah dan Norhalim dalam pada itu menerima kunjungan Majlis Belia Negeri Pahang (MBN) dan sumbangan yang disampaikan Presiden mereka, Khairul Amin Osman.

Turut serta, Pengerusi Majlis Belia Daerah Raub, Sheikh Salahuddin Sheikh Abd Rahim dan Adun Batu Talam, Daruk Abdul Aziz Mat Kiram.

Menurut Khairul Amin, program tersebut acara tahunan anjuran persatuan terbabit.




No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor