Pages

Saturday, July 12, 2014

PELUK ISLAM - DAPAT HIDAYAH DARI MIMPI

Lisiyanti (kanan) sedang belajar membaca al-Quran ketika mengikuti kelas di Petama di sini.


KUANTAN - “Saya mendapat hidayah melalui mimpi sebelum mengambil keputusan memeluk Islam pada 26 Disember tahun lalu,” demikian kata remaja Orang Asli, Lisiyanti Zainal, 19.

Menurutnya, dalam mimpi itu ada individu datang bertemu dengannya sambil menghadiahkan sejadah dan telekung sembahyang.

“Sukar mentafsir apa yang tersirat di sebalik peristiwa itu, saya segera bertemu dengan seorang ustaz bagi mendapatkan penjelasan mimpi berkenaan selain mendengar nasihat tindakan terbaik yang perlu saya buat.

“Keinginan untuk memeluk Islam yang sebelum ini begitu menebal ditambah pula apabila mendapat sokongan kuat dan nasihat daripada kakak saudara, Melora Sentri, 22, yang sudah lama bergelar Muslim,” katanya.

Lisiyanti berkata, sebelum memeluk Islam, dia sudah biasa berpuasa dan menunaikan solat ketika tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak, Bentong, selama lima tahun.

“Malah rakan-rakan terdiri daripada pelajar Melayu banyak menceritakan kehebatan Islam kepada saya,” katanya.

Lisiyanti berkata, kini selepas tujuh bulan bergelar Muslim dia begitu tenang dan selesa serta tidak ada sebarang masalah untuk dia menunaikan sembahyang lima waktu, memakai tudung, membaca al-Quran dan berpuasa.

“Saya bersyukur kerana keluarga tidak pernah melarang saya memeluk Islam malah sentiasa memberikan galakan walaupun mereka masih lagi dengan kepercayaan nenek moyang, saya berharap satu hari nanti ibu bapa dan adik beradik lain memilih Islam.

“Pengalaman kali pertama menyambut Ramadan selepas bergelar Muslim begitu menyeronokkan, saya tidak banyak menghadapi masalah cuma pada hari pertama saja dianggap begitu mencabar apabila terasa begitu penat kerana lapar dan dahaga.

“Namun, selepas beberapa hari keadaan kembali normal, setiap hari saya tidak sabar menanti waktu berbuka. Juadah nasi dan kuih menjadi menu harian. Selesai berbuka kami menunaikan solat Maghrib dan Tarawih secara berjemaah,” katanya yang berasal dari Pos
Lemoi, Cameron Highlands.

Lisiyanti antara 31 pelajar orang Asli dari seluruh negeri ini yang kini belajar selama satu tahun setengah di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) Bukit Sekilau, di sini.



No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor